KUALA LUMPUR 30 Jun — Johan Holdings Berhad meningkatkan nilai aset bersih selepas melaksanakan penilaian semula semua hartanah dan bangunan milik anak syarikatnya di Lumut, Perak baru-baru ini.
Kumpulan itu berkata, segala hartanah, loji dan peralatan Dynacare Sdn Bhd ini dinilai selaras dasar perakaunan syarikat berkenaan serta piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS).
Lembaga Pengarah meluluskan lebihan penilaian semula RM2.498 juta serta kerugian rosot nilai bersih selepas cukai tertunda, dalam penyata yang disatukan bagi tempoh kewangan berakhir 30 April 2026.
"Penilaian semula ini menentukan nilai saksama hartanah, loji dan peralatan mengikut keperluan MFRS 116 berkaitan aset serta MFRS 136 mengenai rosot nilai aset," maklum Johan kepada bursa Malaysia.
Tanah pegangan pajak dan bangunan di Lot 15528, Jalan Pelabuhan 3, Taman Perindustrian Pelabuhan Lumut, dinilai pada RM81.05 juta, sekali gus menghasilkan lebihan penilaian semula sebanyak RM2.498 juta.

Pada masa sama, loji, jentera dan peralatan di lokasi sama dinilai sebanyak RM108.03 juta, namun merekodkan penurunan nilai RM669,000, yang diiktiraf sebagai kerugian rosot nilai dalam penyata.
Usaha penilaian semula kesemua aset tersebut tambah kenyataan Johan lagi, dilaksanakan oleh firma Ian Scott International (M) Sdn Bhd dengan tarikh aktiviti penilaian dibuat pada 31 Mac 2026.
"Selepas diambil kira segala kerugian rosot nilai tersebut, lebihan penilaian semula masih lagi memberi kesan positif kepada kedudukan kewangan semasa syarikat," menurut kumpulan berkenaan.
Nilai aset bersih (NTA) sesaham syarikat tersebut didapati meningkat daripada 16.29 sen kepada 16.45 sen setakat 30 April 2026, yang bersamaan dengan peningkatan sebanyak 0.16 sen sesaham.
Johan turut memaklumkan laporan penilaian itu disediakan bagi pemeriksaan di pejabat berdaftarnya di Damansara Heights, Kuala Lumpur sepanjang tempoh tiga bulan bermula dari tarikh pengumuman.
Penilaian semula aset secara berkala membolehkan nilai hartanah, loji dan peralatan dalam penyata kewangan mencerminkan nilai saksama semasa, dan memberikan gambaran lebih tepat. - DagangNews.com








