KUALA LUMPUR 30 Jun – Pantech Group Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan lebih sederhana bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY2026) apabila pendapatan dan keuntungan kumpulan susut berbanding tahun sebelumnya, dipengaruhi kelembapan segmen utama serta ketidaktentuan makroekonomi global.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata ia merekodkan pendapatan sebanyak RM858.3 juta berbanding RM947.4 juta pada FY2025, mencerminkan penurunan aktiviti perdagangan dalam beberapa segmen utama industri.
“Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut menyusut kepada RM88.12 juta daripada RM112.98 juta sebelum ini, manakala EBITDA turun kepada RM122.39 juta berbanding RM145.72 juta.
“Seiring itu, keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATMI) merosot kepada RM42.91 juta berbanding RM82.51 juta pada tahun kewangan sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) ialah RM56.49 juta.
“Pendapatan sesaham (EPS) turut susut kepada 5.17 sen berbanding 9.91 sen pada tahun sebelumnya, selari dengan penyusutan keuntungan Kumpulan,” katanya dalam makluman tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Chew Ting Leng berkata tahun kewangan berkenaan mencabar berikutan ketidaktentuan geopolitik serta peningkatan kos global yang menekan kos perniagaan.
Beliau berkata, walaupun berdepan tekanan tersebut, kumpulan kekal berdaya tahan melalui disiplin operasi, pengurusan sumber yang cekap serta fokus terhadap kompetensi teras dalam penyelesaian sistem aliran bendalir.

Segmen perdagangan mencatatkan kelembapan ketara susulan penurunan aktiviti dalam sektor minyak dan gas, minyak sawit serta penapisan di Malaysia dan Asia Tenggara.
“Bagaimanapun, segmen pembuatan menunjukkan prestasi lebih stabil disokong pertumbuhan eksport produk keluli tahan karat, yang terus menjadi penyumbang utama kepada kestabilan pendapatan kumpulan.
“Eksport ke pasaran sedia ada dan baharu membantu mengimbangi kelemahan permintaan domestik serta menjadi faktor penstabil prestasi keseluruhan Kumpulan,” katanya.
Dari sudut kewangan, Pantech mencatatkan ekuiti pemegang saham sebanyak RM1 bilion dengan jumlah aset RM1.44 bilion, manakala hutang keseluruhan menurun kepada RM184.45 juta berbanding RM227.63 juta, dengan nisbah gearing lebih rendah pada 0.16 berbanding 0.20 sebelumnya.
Kumpulan turut mengekalkan kedudukan tunai kukuh sebanyak RM333.76 juta serta inventori RM420.57 juta, mencerminkan pengurusan modal kerja yang aktif dalam persekitaran permintaan berubah-ubah.
Pantech mengisytiharkan dividen sebanyak 6 sen sesaham dengan jumlah RM49.88 juta, mewakili 116% daripada PATMI, termasuk pelaksanaan Dividend Reinvestment Plan (DRP) yang membolehkan sebahagian dividen dilaburkan semula ke dalam saham baharu kumpulan.
Dalam masa sama, Pantech terus bersedia menghadapi persekitaran industri yang mencabar, termasuk impak pelaksanaan EU Carbon Border Adjustment Mechanism (CBAM) yang memasuki fasa penuh pada 1 Januari 2026 serta pelaksanaan di United Kingdom bermula 2027, yang dijangka memberi kesan kepada rantaian eksport industri berat.
Melangkah ke hadapan, kumpulan kekal optimis dengan strategi pertumbuhan berasaskan eksport, kekuatan kewangan serta permintaan berterusan dalam segmen penyelenggaraan industri, di samping terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pendigitalan dan pengurusan kos bagi mengekalkan daya tahan perniagaan.- DagangNews.com








