KUALA LUMPUR 30 Jun – Kerajaan Negeri Kelantan mengambil langkah lebih tegas dalam mengawal selia premis perniagaan dengan memperketatkan syarat pelesenan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri.
Langkah ini dilaksanakan susulan kebimbangan terhadap penguasaan warga asing dalam sektor perniagaan tertentu yang dilihat semakin meluas serta memerlukan kawalan lebih rapi.
Pendekatan baharu itu turut dilihat sebagai usaha memperkemas sistem pengurusan premis perniagaan agar lebih tersusun serta mematuhi peraturan sedia ada.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah menegaskan semua premis perlu beroperasi berdasarkan garis panduan yang ditetapkan tanpa sebarang pengecualian.
Beliau berkata, pelaksanaan syarat baharu itu digariskan menerusi Pekeliling Pembangunan Bil. 2 Tahun 2026 yang sedang dikuatkuasakan oleh semua PBT di Kelantan.
Menurut beliau, dasar berkenaan bertujuan memastikan hanya individu yang layak serta memenuhi peruntukan undang-undang dibenarkan menguruskan premis perniagaan.
“Antara syarat baharu yang diperkenalkan termasuk keperluan pemohon yang telah berkahwin mengemukakan maklumat pasangan bersama dokumen perkahwinan yang sah.
“Selain itu, hanya pemegang lesen atau penama warganegara Malaysia dibenarkan mengendalikan operasi premis secara langsung bagi memastikan kawalan lebih ketat terhadap pemilikan perniagaan.
“Kerajaan negeri turut mewajibkan semua premis mempamerkan maklumat pekerja warga asing dengan jelas bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Langkah itu juga bertujuan mengelakkan penyalahgunaan permit kerja serta memastikan setiap tenaga kerja asing direkodkan secara teratur.
Pihak berkuasa tempatan diarahkan melaksanakan syarat baharu tersebut secara menyeluruh tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak.
Tambahnya, mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi syarat berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk kompaun, penggantungan lesen atau pembatalan lesen.
“Pendekatan ini bukan untuk membebankan peniaga, sebaliknya memastikan ekosistem perniagaan lebih telus dan berintegriti.
“Langkah tersebut juga diharap dapat memperkukuh kedudukan peniaga tempatan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” katanya. - DagangNews.com








