KUALA LUMPUR 30 Jun - Pemegang pasport Malaysia dinasihatkan terus menggunakan dokumen sedia ada selagi masih sah dan hanya menukar kepada versi baharu apabila benar-benar perlu, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak perlu tergesa-gesa menggantikan pasport sedia ada susulan pelaksanaan pasport versi baharu negara yang akan diperkenalkan secara berperingkat mulai 1 Julai.
“Kami merayu kepada rakyat Malaysia supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport masing-masing. Jika pasport sedia ada masih sah, teruskan menggunakannya sehingga tamat tempoh.
“Tiada keperluan untuk menggantikannya semata-mata kerana versi baharu telah diperkenalkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasport baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, pembaharuan pasport hanya perlu dilakukan apabila benar-benar diperlukan, seperti apabila pasport telah tamat tempoh atau bagi permohonan baharu.
Pada fasa pertama, pasport baharu itu akan mula dikeluarkan di 14 pejabat pengeluar pasport peringkat negeri, termasuk Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Menurutnya, pasport baharu itu dilengkapi dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan secara ketara, dengan jumlah elemen keselamatan meningkat daripada 49 ciri pada versi terdahulu kepada 94 ciri pada dokumen baharu itu.
Zakaria berkata, Malaysia kini mengeluarkan antara 180,000 hingga 220,000 pasport setiap bulan, dan menjangkakan permintaan akan meningkat selepas pengenalan versi baharu tersebut.
“Kami menjangkakan angka itu akan meningkat sedikit dengan pengenalan pasport baharu kerana permintaan mungkin bertambah,” katanya. - DagangNews.com








