PETRONAS temukan 3 lagi telaga baharu di Suriname dianggarkan lebih 1 bilion tong minyak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS temukan 3 lagi telaga baharu di Suriname dianggarkan lebih 1 bilion tong minyak

Foto kredit Staaatsolie
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 JunPETRONAS terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain tenaga global apabila syarikat petroleum itu mencatat tiga lagi penerokaan telaga baharu di luar pesisir Suriname.

 

Perkembangan terbaharu itu jelasnya, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan telaga yang berjaya kepada lapan dengan anggaran sumber boleh diperoleh melebihi satu bilion tong setara minyak.

 

Penemuan itu mengukuhkan lagi potensi Blok 52 sebagai antara kawasan hidrokarbon paling prospektif di negara berkenaan merangkumi dua penemuan baharu serta satu kejayaan penilaian di luar pesisir.

 

"Telaga penerokaan Caiman-1 digerudi pada kedalaman air sehingga keseluruhan 5,065 meter menemui beberapa lapisan batu pasir era Cretaceous yang mengandungi minyak," tambah kenyataan PETRONAS.

 

Sementara itu, telaga penerokaan Swartzia Aspasia Complex-1 (SAC-1) yang terletak kira-kira lapan kilometer di timur penemuan gas Sloanea-1 berjaya menemui takungan batu pasir yang mengandungi gas.

 

Sumber berkenaan jelas kumpulan tersebut, dijumpai pada kedalaman air 610 meter, dengan ujian pengeluaran turut menunjukkan kadar aliran gas yang kukuh serta kualiti takungan gas adalah baik.

 

PETRONAS turut memaklumkan mengenai potensi telaga penilaian dikenali sebagai Roystonea-2 yang digerudi tujuh kilometer di utara Roystonea-1 mengesahkan keluasan lateral takungan minyak.

 

Artikel berkaitan: PETRONAS capai penemuan gas baharu di blok luar pesisir Suriname, bersamaan lebih satu bilion tong minyak

 

Petronas_DagangNews2026

 

"Kejayaan berterusan di Blok 52 menjadikan jumlah keseluruhan telaga di Suriname kini mencecah lapan, dan membuka sumber boleh diperoleh melebihi satu bilion tong setara minyak," katanya lagi.

 

Blok itu dikendalikan menerusi anak syarikatnya, PETRONAS Suriname E&P BV, dengan pegangan 80%, manakala baki dimiliki Paradise Oil Company NV, anak syarikat Staatsolie Maatschappij Suriname NV.

 

Ketua Pegawai Operasi PETRONAS merangkap Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan, Mohd Jukris Abdul Wahab berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan teknikal syarikat.

 

Ujarnya, Blok 52 terletak dalam koridor prospektif dikenali Golden Lane, dan PETRONAS akan terus memberi tumpuan meneroka potensi sumber kepada nilai jangka panjang bagi Suriname dan syarikat.

 

"Kejayaan ini diraih selepas pengisytiharan kebolehkomersialan medan gas Sloanea pada 2025, dengan keputusan pelaburan muktamad (FID) pembangunan medan disasarkan menjelang akhir 2026," katanya.

 

Situasi itu turut mengukuhkan prospek pembangunan pelbagai projek minyak dan gas (O&G) di Blok 52 serta mengukuhkan kedudukan Suriname sebagai hab utama air dalam di Lembangan Suriname-Guyana.

 

 

 

 

 

 

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang di Suriname, PETRONAS menganugerahkan biasiswa kepada tujuh pelajar negara itu yang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).

 

Penganugerahan ini menjadikan mereka kumpulan pertama dari Suriname melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia di bawah program biasiswa PETRONAS. - DagangNews.com