PETRONAS capai penemuan gas baharu di blok luar pesisir Suriname, bersamaan lebih satu bilion tong minyak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS capai penemuan gas baharu di blok luar pesisir Suriname, bersamaan lebih satu bilion tong minyak

Oleh Muhammad Iman

PARAMARIBO 24 Jun - Syarikat tenaga milik kerajaan Malaysia, PETRONAS telah mencatat satu lagi penemuan gas di Blok 52 luar pesisir Suriname, dengan jumlah keseluruhan penemuan di blok itu kini melebihi satu bilion tong setara minyak.

 

Presiden Suriname, Jennifer Simons berkata pada Selasa bahawa perkembangan itu merupakan berita baik untuk negara tersebut, yang sedang giat membangunkan sektor minyak dan gas luar pesisir.


 

Presiden Suriname Jennifer Simons
Presiden Suriname, Jennifer Simons

 


Seorang eksekutif PETRONAS pula memaklumkan bahawa setakat ini sebanyak lapan penemuan penerokaan telah direkodkan di blok berkenaan, yang secara keseluruhan membuka potensi lebih satu bilion tong setara minyak, menurut laporan Reuters.

 

Beliau turut menyifatkan Blok 52 sebagai kawasan berpotensi tinggi dalam “Golden Lane”, disokong oleh analogi geologi serantau yang kukuh serta minat berterusan industri tenaga global.

 

 

 

 

 

“Setakat ini, kami telah membuat lapan penemuan penerokaan berjaya yang membuka lebih daripada satu bilion tong setara minyak, sambil terus memajukan penyelesaian rendah karbon, operasi selamat serta pelaburan dalam bakat, teknologi dan keupayaan bagi mencipta nilai jangka panjang untuk negara,” kata Ketua Pegawai Operasi PETRONAS, Mohd Jukris Abdul Wahab di persidangan tenaga tersebut.

 

Beliau menambah, Blok 52 berada dalam koridor penerokaan yang sangat berpotensi tinggi dan terus menjadi tumpuan industri.

 

Pengeluaran pertama daripada sumber luar pesisir Suriname dijangka bermula pada 2028 melalui konsortium yang diterajui oleh TotalEnergies, menurut Menteri Minyak Suriname, Patrick Brunings ketika ditemui Reuters di luar persidangan tersebut.

 

Tumpuan kepada pelesenan dan pembangunan data seismik

Sementara itu, syarikat minyak negara Suriname, Staatsolie kini membuka pusingan pelesenan secara terbuka melibatkan lebih 70,000 kilometer persegi kawasan luar pesisir di lima sektor.

 

Skim itu membolehkan syarikat tenaga mengemukakan program kerja dan mendapatkan kontrak perkongsian pengeluaran atau perjanjian kajian bersama bagi memperkukuh data seismik sedia ada.

 

“Masih ada beberapa kejutan lagi yang akan datang,” kata Patrick Brunings sambil merujuk kepada perkembangan penerokaan baharu.

 

Beliau berkata sekiranya penemuan gas terus meningkat, Suriname berpotensi membangunkan pelbagai industri termasuk bauksit dan petrokimia.

 

 

 

 

 

 

Selepas kejayaan Guyana muncul sebagai pengeluar minyak utama dengan pengeluaran lebih 900,000 tong sehari, Suriname kini turut memberi tumpuan kepada pembangunan luar pesisir bagi pengeluaran minyak mentah dan gas melalui projek bersama syarikat antarabangsa.

 

“Kami juga boleh memberi tumpuan kepada eksport gas,” tambah beliau. “Dunia kini memerlukan pembekal gas yang boleh dipercayai, dan kami percaya Suriname mampu memainkan peranan itu dengan baik.” - DagangNews.com