KUALA LUMPUR 24 Jun – Ketidaktentuan geopolitik susulan konflik di Timur Tengah serta kenaikan harga minyak dunia dijangka terus memberi tekanan kepada kos logistik dan rantaian bekalan global.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), risiko isu itu termasuk gangguan laluan perdagangan, dan peningkatan kos bahan mentah turut memberi kesan terhadap DKSH Holdings (Malaysia) Berhad.
Bagaimanapun, firma penyelidikan tersebut dalam analisisnya melihat kumpulan berkenaan masih lagi berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding dialami kebanyakan syarikat lain di negara ini.
"Limpahan risiko daripada ketegangan di Timur Tengah termasuk inflasi pengangkutan menerusi jalan laut dijangka tidak memberi sebarang kesan secara ketara ke atas prestasi kumpulan tersebut," jelasnya.
Tambah HLIB, ketahanan DKSH dipacu sifat produk yang tidak anjal kepada permintaan, terutama segmen penjagaan kesihatan dan barangan pengguna asas menyumbang 98.7% daripada jumlah jualan bagi FY25.

Selain itu ujarnya, hasil kumpulan juga lebih terjamin menerusi kontrak jangka panjang melebihi lima tahun dengan rakan prinsipal utama, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan tinggi.
Kumpulan itu juga tidak mempunyai pendedahan jualan yang signifikan di Timur Tengah dan setakat ini belum menyaksikan sebarang gangguan terhadap rantaian bekalan atau kesinambungan bekalan produk.
"Pada masa sama, DKSH melaksanakan pelbagai inisiatif transformasi digital dan penstrukturan semula rantaian bekalan bagi meningkatkan lagi kecekapan operasi serta margin keuntungannya," kata HLIB.
Kumpulan itu juga memanfaatkan platform pengurusan pelanggan (CRM) berasaskan kecerdasan buatan (AI), Eurus dan Connect Plus, yang diintegrasi ke dalam segmen produk pengguna akhir tahun ini.
Pelaksanaan sistem itu dijangka meningkatkan produktiviti melalui penggunaan analitik ramalan dan pemantauan masa nyata, selain membantu bagi memahami corak permintaan pelanggan dengan lebih tepat.

DKSH ujar HLIB, turut mengoptimumkan rangkaian logistik menerusi rasionalisasi pekerja dan laluan penghantaran, walaupun kos penstrukturan semula dijangka memberi tekanan sementara terhadap margin.
"Kami menyifatkan saham kumpulan ini antara terbaik di pasaran kerana portfolio produknya meliputi gabungan premium dan mampu milik serta kehadiran kukuh dalam sektor penjagaan kesihatan," jelasnya.
Pertumbuhan jangka panjang kumpulan akan terus dipacu peningkatan perbelanjaan, populasi semakin menua dan pertumbuhan kelas pertengahan, selain sumbangan kontrak baharu mulai separuh kedua 2026.
Justeru, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap DKSH dengan harga sasaran (TP) RM7.33 sesaham disokong prospek pendapatan yang mampan dan sifat perniagaannya yang defensif. - DagangNews.com








