Pembelian tanah pajakan di Singapura tingkatkan hutang Sunway, prospek saham kekal terhad - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembelian tanah pajakan di Singapura tingkatkan hutang Sunway, prospek saham kekal terhad - MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Jun – Langkah Sunway Berhad memperkukuhkan kedudukannya di pasaran hartanah Singapura dijangka meningkatkan lagi paras hutang syarikat tersebut, menurut analisis MBSB Research.

 

Perkembangan terbaharu melibatkan pembelian tanah pajakan selama 99 tahun di River Valley Green, sekali gus berisiko mengekang potensi kenaikan harga saham syarikat itu dalam jangka masa terdekat.

 

Firma itu berkata, pengambilalihan tapak pada harga S$750.6 juta (RM2.4 bilion) menyebabkan nisbah penggearan bersih naik kepada 0.38 kali berbanding 0.32 kali pada suku pertama tahun kewangan 2026.

 

"Walaupun peningkatan hutang Sunway dijangka berlaku susulan pembiayaan projek melalui dana dalaman dan pinjaman bank, pemerolehan itu masih positif dari sudut jangka panjang," tambah MBSB Research.

 

Pembelian tanah ini memperluaskan lagi jejak pembangunan di Singapura dan mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran pembangunan kediaman negara jiran berkenaan terutama di lokasi bernilai strategik.

 

River Valley Green_DagangNews2026
PANORAMA River Valley Green di Singapura. - Foto kredit The River Green.SG

 

Ujar firma tersebut, tapak berkeluasan 11,516 meter persegi itu dianugerahkan kepada SMCL Haven 3 Pte Ltd dan CSC Land Group (Singapore) Pte Ltd selepas berjaya memenangi tender tanah berkenaan.

 

Jelas MBSB Research, bagi tujuan pelaksanaan pembangunan di tapak itu, kedua-dua pihak dilaporkan perlu menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) dengan pegangan ekuiti 60:40 dalam masa terdekat.

 

"Kejayaan perolehan tapak ini selari strategi Sunway memperluaskan operasi di Singapura, selepas pengambilalihan MCL Land daripada Hongkong Land pada 2025 dan dijenamakan sebagai SMCL," katanya.

 

Projek itu akan melibatkan pembangunan kondominium kediaman mengandungi lebih daripada 500 unit dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak SGD1.4 bilion atau kira-kira RM2.7 bilion.

 

MBSB Research menjangka pembangunan tersebut dijadualkan bermula pada 23 Jun 2026 dengan tempoh pembinaan selama 60 bulan, manakala pelancaran projek dijangka dibuat pada separuh kedua 2027.

 

Artikel berkaitan: Sunway beli tanah di Singapura bangunkan projek kediaman premium RM2.4 bilion

 

Ia turut berpandangan lokasi projek yang terletak bersebelahan stesen MRT Great World akan menjadi faktor tarikan utama kepada pembeli memandangkan ia menawarkan tahap kesalinghubungan yang baik.

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran pendapatan semasa Sunway memandangkan sumbangan keuntungan daripada projek tersebut hanya dijangka mula direkodkan pada tahun kewangan 2028," jelasnya.

 

Justeru, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM5.28 sesaham daripada RM5.26 selepas mengambil kira sumbangan nilai aset bersih semula projek itu.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu berpandangan projek di River Valley Green hanya sebagai pemangkin pertumbuhan jangka pendek bagi saham kumpulan tersebut. - DagangNews.com