Desas-desus pilihan raya umum ke-16 bukan faktor utama pelabur asing tertarik ke Malaysia, kata MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Desas-desus pilihan raya umum ke-16 bukan faktor utama pelabur asing tertarik ke Malaysia, kata MITI

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 24 Jun – Kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tahun ini bukan faktor utama yang mempengaruhi keputusan pelabur asing untuk menempatkan modal di Malaysia, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

 

Walaupun begitu, MITI menegaskan kestabilan politik masih kekal sebagai elemen penting dalam pemilihan destinasi pelaburan.

 

"Keputusan pelaburan lazimnya lebih dipacu oleh faktor asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang lebih luas, bukannya sentimen politik jangka pendek," kata MITI dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.

 

MITI menjelaskan, walaupun Malaysia pernah melalui beberapa perubahan pentadbiran sebelum ini, kesinambungan dasar pelaburan serta komitmen Kerajaan MADANI untuk menyediakan ekosistem pelaburan yang telus, konsisten dan mesra pelabur telah mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara destinasi pelaburan utama di rantau ini.

 

Pelaburan asing terus dominasi aliran masuk modal

Menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) Mohd Azizi Abu Naim, MITI turut memaklumkan jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia bagi tempoh 2021 hingga 2025 mencecah RM1.7 trilion melibatkan 30,301 projek.

 

Daripada jumlah itu, pelaburan asing menyumbang RM940.25 bilion atau 54.6 peratus, sekali gus menunjukkan keyakinan berterusan pelabur luar terhadap ekonomi negara walaupun wujud spekulasi politik.

 

MITI turut menegaskan, pelabur kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada kelebihan kos, sebaliknya menilai faktor lain seperti ketahanan rantaian bekalan, kejelasan dasar serta kestabilan ekosistem industri jangka panjang.

 

Malaysia katanya, mempunyai ekosistem industri matang dan bersepadu merangkumi sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, peranti perubatan serta industri halal, disokong oleh rangkaian pembekal domestik dan perkhidmatan kejuruteraan tempatan.

 

“Ini membolehkan Malaysia menawarkan ekosistem industri yang menyeluruh serta akses pasaran lebih luas di rantau ini,” katanya.

 

MITI turut menambah, kekuatan infrastruktur industri serta integrasi rantaian bekalan domestik meningkatkan kecekapan operasi pelabur, selain mengurangkan kebergantungan kepada rantaian luar yang lebih terdedah kepada risiko geopolitik dan gangguan logistik global. - DagangNews.com