Kos bahan api mahal dipengaruhi ketidaktentuan di Timur Tengah terus bebankan sektor pengangkutan - RHB Research  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan api mahal dipengaruhi ketidaktentuan di Timur Tengah terus bebankan sektor pengangkutan - RHB Research 

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 24 Jun – Konflik di Timur Tengah yang sebelum ini mendorong peningkatan harga minyak terus menjadi risiko utama yang membebankan sektor pengangkutan, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut dalam analisisnya berpandangan, situasi negatif berkenaan sekali gus berpotensi menjejaskan margin operasi pemain industri terbabit sekiranya berlarutan lebih lama.

 

Ia namun menilai tekanan kos itu dijangka semakin reda jika gencatan senjata dapat dikekalkan, sekali gus memberi kelegaan kepada syarikat pelabuhan utama, khususnya Westports Holdings Berhad.

 

"Kumpulan ini merupakan penerima manfaat terbesar daripada penurunan harga diesel dan bahan api bunker kerana menggunakan diesel tanpa subsidi bagi operasi bot tunda, trak dan kren," katanya.

 

Walaupun impak penuh kenaikan kos dijangka dirasai pada suku kedua 2026, kenaikan tarif secara berperingkat sebelum ini adalah lebih daripada mencukupi untuk mengimbangi peningkatan caj itu.

 

Justeru ujar RHB Research, keputusan kewangan Westports bagi suku pertama 2026 selari jangkaan, disokong oleh pertumbuhan hasil susulan pelaksanaan kenaikan tarif tersebut secara berperingkat.

 

Westports_DagangNews2026

 

Sebaliknya, prestasi syarikat logistik Tasco Berhad bagi tahun kewangan 2026 didapati berada di bawah jangkaan disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen rantaian bekalan sejuk.

 

"Bagi FM Global Logistics Holdings Berhad, keuntungan teras bagi sembilan bulan tahun kewangan 2026 memenuhi jangkaan, disokong margin keuntungan kasar dan kadar cukai efektif rendah," tambahnya.

 

Menurut RHB Research, kesan turun naik harga bahan api terhadap syarikat penghantaran barang secara amnya adalah neutral kerana kebanyakan surcaj bahan api boleh dipindahkan terus kepada pelanggan.

 

Dalam perkembangan lain, masalah kesesakan yang berlaku di Westports pada Januari 2026 sudah diselesaikan sepenuhnya, dengan jumlah pengendalian kargo pada April 2026 meningkat kira-kira 3%.

 

Selain itu, penggunaan bahan api Westports dijangka berkurangan 10% menjelang suku keempat 2026 selepas syarikat itu mula mengoperasikan 60 buah trak elektrik menjelang suku ketiga tahun ini.

 

"Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pengangkutan dengan Westports sebagai pilihan utama, disokong oleh pertumbuhan volum berdaya tahan," kata RHB Research.

 

Firma itu turut mengesyorkan pelabur mengambil peluang mengumpul saham Westports ketika berlaku kelemahan harga memandangkan kebanyakan risiko berkaitan konflik geopolitik sudah diambil kira. - DagangNews.com