KUALA LUMPUR 24 Jun - Penganalisis kekal berhati-hati terhadap saham UMediC Group Bhd walaupun keuntungan bersih teras kumpulan itu bagi tempoh sembilan bulan berakhir Julai 2026 (9M26) meningkat 3.1% tahun ke tahun (YoY).
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata prestasi yang lebih baik daripada jangkaan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh kadar cukai efektif yang lebih rendah daripada jangkaan pada suku tersebut.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan UMediC bagi FY26 hingga FY28 antara 7.1% hingga 8.5%, terutamanya berdasarkan andaian kadar cukai yang lebih rendah.
Walaupun menaik taraf unjuran pendapatan, HLIB mengekalkan saranan “Pegang” terhadap saham UMediC, dengan menaikkan harga sasaran kepada 32 sen berbanding 30 sen sebelum ini.
“Bagi tempoh akan datang, kami menjangkakan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat berakhir Julai 2026 (4Q26), terutamanya didorong oleh bahagian pembuatan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, firma itu memberi amaran pergerakan kadar pertukaran asing serta kos bahan mentah plastik yang tidak menentu terus menjadi faktor risiko yang boleh mengehadkan potensi kenaikan saham.
Hasil syarikat susut 7.3% suku ke suku (QoQ) kepada RM12.4 juta apabila penurunan ketara jualan segmen pembuatan mengatasi prestasi lebih baik yang dicatatkan oleh segmen pengedaran.
Sementara itu, Phillip Capital Research menyifatkan prestasi suku tersebut sebagai “sederhana”, namun menegaskan keputusan kewangan yang dicatatkan secara keseluruhannya masih selari dengan jangkaan.
Firma itu menekankan hasil bagi tempoh 9M26 meningkat 10% YoY kepada RM40 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan 19% hasil segmen pengedaran, yang berjaya mengimbangi penurunan 8.5% jualan segmen pembuatan.
Melangkah ke hadapan, Phillip Capital kekal positif terhadap prospek saham syarikat itu.
Menurut firma tersebut, UMediC berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan jangka panjang, disokong oleh tapak pajakan seluas 3.1 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan, yang menyediakan ruang untuk pengembangan kapasiti pengeluaran serta kepelbagaian produk.
Firma penyelidikan itu turut menekankan trajektori pertumbuhan segmen pembuatan yang disokong oleh pelan menggandakan kapasiti pengeluaran, permintaan global yang kukuh serta saluran pembangunan produk baharu yang sihat.
Phillip Capital mengekalkan saranan “Beli” dengan harga sasaran 43 sen, dengan alasan penilaian semasa saham masih menarik kerana didagangkan jauh di bawah julat penilaian sejarahnya. - DagangNews.com








