Prospek suku akhir FY26 UWC Holdings terus cerah disokong lonjakan permintaan semikonduktor global - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek suku akhir FY26 UWC Holdings terus cerah disokong lonjakan permintaan semikonduktor global - HLIB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Jun - Prestasi UWC Holdings Bhd pada suku akhir tahun kewangan 2026 (FY26) dijangka terus bertambah baik didorong oleh momentum tempahan yang kukuh daripada pelanggan segmen hadapan (front-end) dan belakang (back-end) dalam rantaian bekalan semikonduktor, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek syarikat turut diperkukuhkan oleh perkembangan positif dalam industri peralatan fabrikasi wafer (WFE) global, yang kini dijangka mencatat perbelanjaan antara AS$140 bilion hingga AS$150 bilion pada 2026 sebelum meningkat kepada AS$190 bilion hingga AS$200 bilion pada 2027.

 

Unjuran positif itu juga selari dengan prestasi kewangan UWC bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26)  menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, dengan keuntungan teras meningkat lebih dua kali ganda kepada RM71.8 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Menurut HLIB lagi, peningkatan unjuran tersebut mencerminkan pelaburan berterusan dalam teknologi memori dan cip logik berprestasi tinggi yang menjadi tunjang kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI), pusat data serta aplikasi pengkomputeran generasi baharu.

 

Dalam perkembangan yang dilihat mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan, pelanggan terbesar UWC yang dikenali sebagai Pelanggan L telah memulakan peningkatan kapasiti di fasiliti kedua mereka di Kulim.

 

"Kemudahan baharu itu dikatakan mempunyai skala operasi yang setanding dengan fasiliti sedia ada di Batu Kawan dan dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga penghujung 2026.

 

"Langkah pengembangan tersebut dijangka meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan UWC, khususnya mulai tahun kalendar 2027," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Permintaan Industri Meningkat Ke Paras Tertinggi

HLIB menambah, selain itu, Pelanggan A turut memperkukuhkan operasi serantaunya menerusi pembesaran fasiliti di Singapura yang menggandakan keluasan bilik bersih (cleanroom), sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan volum tempahan yang lebih tinggi.

 

Dalam masa sama, UWC berjaya memperoleh pelanggan baharu dalam segmen WFE yang mempunyai kedudukan kukuh dalam beberapa pasaran khusus semikonduktor.

 

Pengeluaran untuk pelanggan tersebut dijangka bermula pada 2027 dan berpotensi menjadi sumber pertumbuhan baharu kepada kumpulan dalam jangka panjang.

 

HLIB berkata, tahap keterlihatan permintaan industri kini berada pada paras yang jarang berlaku apabila pelanggan utama mula berkongsi ramalan tempahan sehingga lapan suku tahun lebih awal.

 

Keadaan itu membolehkan syarikat seperti UWC merancang pengembangan kapasiti dan pelaburan dengan lebih yakin, sekali gus mengurangkan ketidaktentuan operasi.

 

Sejajar dengan prospek yang semakin positif, unjuran pendapatan FY27 dan FY28 telah disemak naik masing-masing sebanyak 3% dan 13%, didorong oleh jangkaan peningkatan tempahan daripada pelanggan utama serta sumbangan awal pelanggan baharu.

 

Susulan itu, harga sasaran saham UWC turut dinaikkan kepada RM7.10 sesaham berbanding RM5.60 sebelum ini, manakala saranan "BELI" dikekalkan.

 

HLIB berkata, kedudukan UWC yang semakin kukuh dalam segmen front-end semikonduktor membolehkan syarikat memanfaatkan sepenuhnya kitaran peningkatan perbelanjaan modal industri WFE yang sedang berlangsung.

 

Pada masa sama, pertumbuhan tempahan daripada pelanggan back-end serta potensi pengembangan margin keuntungan dijangka menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula saham syarikat pada masa hadapan. - DagangNews.com