Pemerolehan aset RM68 juta oleh NuEnergy ditunda lagi, proses kontrak masih belum dimuktamadkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemerolehan aset RM68 juta oleh NuEnergy ditunda lagi, proses kontrak masih belum dimuktamadkan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 Jun — Cadangan pemerolehan aset solar bernilai RM68 juta oleh NuEnergy Holdings Berhad sekali lagi mengalami kelewatan apabila tarikh penyempurnaan urus niaga itu ditunda lagi.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan melanjutkan tarikh sehingga 30 September 2026 berikutan proses novasi dua kontrak berkaitan masih belum dimuktamadkan.

 

Anak syarikatnya, IL Energy Sdn Bhd dan penjual aset solar bersetuju perjanjian jual beli (SPA) itu ditunda daripada 30 Jun 2026 kepada 30 September 2026 atau pada tarikh lain dipersetujui kedua-dua pihak.

 

"Lanjutan ini meliputi cadangan pemerolehan aset solar Armani Energy Sdn Bhd pada harga RM68 juta, yang merupakan sebahagian cadangan pengambilalihan keseluruhan bernilai RM98 juta," kata NuEnergy.

 

Selain aset solar tersebut, kumpulan berkenaan turut merancang untuk memperoleh 100% pegangan ekuiti dalam Armani Sinar Sdn Bhd pada harga RM30 juta secara tunai di bawah cadangan yang sama.

 

Jelasnya, masih terdapat dua kontrak berkaitan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (SARE) yang belum selesai melalui proses novasi, sekali gus menghalang penyempurnaan transaksi.

NuEnergy_DagangNews2026

 

NuEnergy berkata, sejak lanjutan sehingga 30 Jun 2026 yang diumumkan sebelum ini, dua kontrak itu masih belum dinovasikan kerana pelanggan memerlukan tempoh tambahan melengkapkan dokumentasi.

 

"Proses ini turut melibatkan penyediaan dokumen novasi yang perlu dimuktamadkan bersama syarikat utiliti elektrik nasional mengikut terma dan syarat kontrak SARE yang ditandatangani," tambahnya.

 

Bagaimanapun, Lembaga Pengarah kumpulan itu berpandangan tempoh lanjutan sehingga 30 September 2026 adalah mencukupi bagi menyelesaikan segala proses novasi bagi baki dua kontrak berkenaan.

 

Selain perubahan kepada tarikh penyempurnaan urus niaga, NuEnergy berkata, semua terma dan syarat lain dalam SPA berkenaan adalah kekal tidak berubah dan terus berkuat kuasa secara sepenuhnya.

 

Cadangan pemerolehan itu mula diumumkan pada Julai 2024 dan melalui beberapa lanjutan susulan keperluan memenuhi syarat-syarat tertentu, khususnya berkaitan pemindahan hak dan obligasi.

 

"Kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi melengkapkan proses yang masih tertangguh agar cadangan pemerolehan dapat disempurnakan dalam tempoh dipersetujui," katanya. - DagangNews.com