Saham teknologi, perladangan dijangka catat prestasi kukuh separuh kedua FY26 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham teknologi, perladangan dijangka catat prestasi kukuh separuh kedua FY26 - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menaik taraf sektor teknologi dengan jangkaan berlaku pemulihan pada separuh kedua 2026, manakala saham perladangan dijangka mencatat prestasi positif disokong harga minyak sawit mentah (CPO) yang kekal kukuh.

 

Dalam nota penyelidikannya, firma itu berkata pemulihan sektor teknologi dijangka dipacu oleh peningkatan pelaburan dalam AI dan pembangunan pusat data, manakala sektor perladangan bakal menerima sokongan jangka pendek sekiranya harga CPO kekal tinggi berikutan kemungkinan berlakunya fenomena El Niño.

 

Menurut firma penyelidikan itu lagi, perubahan landskap geopolitik turut menyebabkan tumpuan pelabur kepada saham yang menerima tempias positif daripada krisis di Timur Tengah, beralih kepada saham yang mempunyai pemangkin pertumbuhan lebih kukuh.

 

Disebabkan itu, Maybank IB menurunkan saranan terhadap PETRONAS Chemicals Group Bhd kepada 'Jual' daripada 'Pegang', dengan harga sasaran disemak turun kepada RM3.92 berbanding RM5.62 sebelum ini.

 

Katanya, purata harga jualan bagi segmen olefin dan derivatif serta baja dan metanol syarikat itu terus tertekan berikutan penyusutan harga minyak mentah Brent selepas gencatan senjata di Timur Tengah.

 

Sebaliknya, Maybank IB menaik taraf Press Metal Aluminium Holdings Bhd kepada 'Beli' daripada 'Pegang', dengan harga sasaran RM10.80, berikutan jangkaan bekalan aluminium global kekal dalam keadaan defisit akibat gangguan bekalan yang berterusan di Timur Tengah.

 

"Pertumbuhan penawaran global yang masih terhad dijangka terus menyokong prospek industri aluminium," katanya.

 

Pendapatan Dividen

Dalam aspek pendapatan dividen, Velesto Energy Bhd dilihat menawarkan antara pulangan dividen paling menarik di pasaran dengan hasil dividen dijangka melebihi 7% bagi tahun kewangan 2026 dan 2027.

 

Selain itu, dana pelaburan hartanah (REIT) seperti YTL Hospitality REIT turut disenaraikan sebagai pilihan pendapatan selepas diniagakan berdasarkan hasil dividen kasar susulan pemansuhan cukai pegangan.

 

Maybank IB turut mengenal pasti beberapa saham lain yang menawarkan hasil dividen melebihi 5%, termasuk RHB Bank Bhd, MBM Resources Bhd, Bermaz Auto Bhd, Ta Ann Holdings Bhd, Genting Plantations Bhd dan TH Plantations Bhd.

 

Bagi sektor teknologi, firma penyelidikan itu mengekalkan ViTrox Corp Bhd dan Pentamaster Corp Bhd sebagai pilihan utama untuk memanfaatkan pertumbuhan AI dan pusat data.

 

Dalam perkembangan sama, Kee Ming Group Bhd turut dimasukkan ke dalam senarai saham pilihan utama berikutan rancangan syarikat mengembangkan perniagaan ke dalam infrastruktur tenaga voltan tinggi dengan memanfaatkan kepakaran mekanikal dan elektrikal sedia ada.

 

Menurut Maybank IB, langkah Kee Ming untuk terlibat dalam projek tenaga Tenaga Nasional Bhd serta pembinaan pencawang bagi pusat data dijangka membuka peluang pertumbuhan baharu dan mengukuhkan prospek pendapatannya dalam jangka panjang. - DagangNews.com