KUALA LUMPUR 30 Jun – Systech Bhd mencadangkan pengurangan modal saham sebanyak RM40 juta serta menjenamakan semula syarikat kepada WTS Capital Berhad sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan kewangan dan menyokong pelaksanaan strategi transformasi perniagaannya.
Cadangan itu melibatkan pengurangan modal saham terbitan syarikat di bawah Seksyen 117 Akta Syarikat 2016 serta pertukaran nama korporat yang disifatkan selari dengan hala tuju baharu kumpulan yang kini memberi tumpuan kepada rumusan teknologi digital bernilai tinggi.
Menurut Systech, cadangan pengurangan modal saham itu akan membolehkan syarikat menghapuskan kerugian terkumpul melalui pembatalan sebahagian modal saham yang tidak lagi diwakili oleh aset sedia ada.
Berdasarkan penyata kewangan tidak diaudit setakat 31 Mac 2026, langkah tersebut dijangka menukarkan kedudukan kerugian terkumpul kepada pendapatan tertahan positif sekitar RM3.07 juta di peringkat kumpulan selepas mengambil kira anggaran kos pelaksanaan cadangan berkenaan.
Syarikat menjelaskan, pelaksanaan itu hanyalah satu pelarasan perakaunan dan tidak melibatkan sebarang perubahan terhadap harga saham, bilangan saham terbitan, pegangan pemegang saham, aset bersih mahupun kedudukan tunai syarikat.
Malah, cadangan itu juga tidak memberi sebarang kesan terhadap harga pelaksanaan atau hak pemegang Waran A yang masih belum ditebus.
Dalam masa sama, Systech turut mencadangkan pertukaran nama kepada WTS Capital Berhad bagi mencerminkan identiti korporat baharu yang lebih selari dengan perkembangan perniagaan kumpulan serta peluasan fokus kepada segmen teknologi digital bernilai tinggi.

Penjenamaan semula itu menggambarkan transformasi syarikat daripada operasi tradisional kepada penyedia rumusan teknologi digital yang merangkumi kecerdasan buatan (AI), perancangan sumber perusahaan (ERP), pengurusan modal insan (HCM), Internet Pelbagai Benda (IoT) serta infrastruktur digital.
Pengarah Urusan Systech, Dr. Low Min Yew berkata, kedua-dua cadangan tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan transformasi syarikat selepas merekodkan pertumbuhan yang kukuh pada tahun kewangan 2026.
Beliau berkata, pengurangan modal saham itu akan membolehkan syarikat menghapuskan kerugian terkumpul dan memulihkan kedudukan pendapatan tertahan kepada paras positif tanpa menjejaskan pegangan ekuiti pemegang saham atau kedudukan tunai syarikat.
"Langkah ini meletakkan kumpulan pada kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta meningkatkan keyakinan dalam kalangan pembiaya, pelanggan, pembekal dan pelabur ketika kami meneroka peluang pertumbuhan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Lembaga Pengarah berpandangan cadangan pengurangan modal saham itu akan mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan dengan membolehkan nilai aset asas dicerminkan dengan lebih tepat, di samping menyediakan fleksibiliti lebih besar untuk melaksanakan peluang perniagaan, latihan korporat dan inisiatif pembiayaan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang.
Kedua-dua cadangan itu tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung akan datang. Tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan, cadangan pengurangan modal saham dijangka diselesaikan pada suku keempat 2026, manakala pertukaran nama kepada WTS Capital Berhad akan berkuat kuasa sebaik sahaja Notis Pendaftaran Nama Baharu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. - DagangNews.com








