Putrajaya, Sarawak masih berunding untuk menaikkan jumlah bayaran geran khas di bawah MA63, Parlimen diberitahu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Putrajaya, Sarawak masih berunding untuk menaikkan jumlah bayaran geran khas di bawah MA63, Parlimen diberitahu

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kerajaan Persekutuan dan Sarawak masih berunding untuk menaikkan jumlah geran khas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata beberapa pusingan rundingan telah diadakan antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, bagi membincangkan mekanisme baharu geran berkenaan.

 

“Saya telah memberi jaminan bahawa rundingan akan diteruskan, dan adalah wajar untuk berlaku peningkatan berdasarkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS–Sri Aman) berhubung kemungkinan peningkatan geran khas Sarawak susulan keputusan terhadap Sabah.

 

Kerajaan Persekutuan sebelum ini meluluskan peningkatan geran interim Sabah kepada RM1.5 bilion daripada RM600 juta, yang dibuat sementara menunggu pemuktamadan hak 40% hasil negeri di bawah MA63.

 

Ketika ini, Sarawak menerima geran khas interim sebanyak RM600 juta, namun negeri itu sedang merundingkan mekanisme baharu bersama Putrajaya bagi menentukan jumlah yang lebih sesuai.

 

Sebelum ini, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan kerajaan negeri bercadang mencadangkan formula baharu yang mengaitkan geran tersebut dengan hasil pendapatan negeri, khususnya kutipan cukai, bagi menentukan pelarasan yang lebih adil dan mampan.

 

Anwar berkata, rundingan bersama kerajaan Sarawak telah berlangsung dalam beberapa pertemuan termasuk di Bintulu dan Kuching, namun tiada pengumuman rasmi dibuat ketika itu bagi memberi tumpuan kepada perkembangan lain berkaitan hubungan fiskal antara kedua-dua pihak.

 

“Kami tidak membuat sebarang pengumuman kerana ingin memberi tumpuan kepada pembayaran bersejarah sebanyak RM1.8 bilion oleh kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya, merujuk kepada pemindahan pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri.

 

Menurut beliau, hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak kekal berada pada tahap yang baik dan konstruktif, dengan kedua-dua pihak menunjukkan kesediaan untuk menyelesaikan isu-isu berpanjangan melalui rundingan.

 

“Rundingan akan diteruskan dan adalah wajar untuk melihat peningkatan berdasarkan semangat MA63,” katanya.

 

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa penyelesaian isu berkaitan hak perlembagaan dan kewangan negeri perlu dicapai melalui pendekatan rundingan yang sihat serta saling menghormati Perlembagaan Persekutuan dan semangat MA63.

 

Terdahulu, Doris merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas pemindahan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak, yang dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh autonomi ekonomi negeri. - DagangNews.com