Malakoff terajui kebangkitan semula Penjanabebas, Syahrunizam dilantik sebagai Presiden baharu bagi penggal 2026/2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff terajui kebangkitan semula Penjanabebas, Syahrunizam dilantik sebagai Presiden baharu bagi penggal 2026/2027

Syahrunizam Samsudin (enam dari kanan) bersama barisan kepimpinan baharu Persatuan Nasional Penjanakuasa Bebas Malaysia (Penjanabebas) selepas AGM ke-26
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Bhd, Syahrunizam Samsudin dilantik sebagai Presiden Persatuan Nasional Penjanakuasa Bebas Malaysia (Penjanabebas) bagi penggal 2026/2027  dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-26 persatuan itu.

 

Pelantikan itu meletakkan Malakoff sebagai peneraju kepada usaha untuk menghidupkan semula badan industri tersebut bagi memperkukuh peranan penjana kuasa bebas (IPP) serta menyokong agenda peralihan tenaga negara.

 

AGM Penjanabebas itu menandakan persatuan berkenaan kembali aktif selepas tidak beroperasi sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, selain melengkapkan proses penyusunan semula mengikut Akta Pertubuhan 1996.

 

Mesyuarat itu turut meluluskan pindaan perlembagaan bagi memperkukuh tadbir urus dan menyelaraskan hala tuju Penjanabebas dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang meletakkan semula persatuan itu sebagai badan yang mewakili keseluruhan industri tenaga, bukan lagi hanya penjana kuasa konvensional.

 

Syahrunizam yang mewakili Tanjung Bin Power Sdn Bhd akan dibantu Mohd Hedzir Hanafi daripada Ranhill Utilities sebagai Timbalan Presiden, Mohd Kopli Yunus daripada Tanjung Bin Energy Sdn Bhd sebagai Setiausaha Kehormat dan Nurshazwani Abd Malek daripada Segari Energy Ventures Sdn Bhd sebagai Bendahari Kehormat.

 

Selain itu, lapan Ahli Majlis Biasa turut dipilih daripada Malakoff, Edra Power Holdings Sdn Bhd dan Ranhill Utilities Berhad.

 

Di bawah kepimpinan baharu, Penjanabebas akan mewakili pemain dalam pelbagai segmen tenaga termasuk tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), hidrogen, sisa kepada tenaga (WtE) dan tenaga nuklear selaras dengan perubahan landskap tenaga negara.

 

t

 

Persatuan itu juga akan menjadi saluran kepada industri untuk mengemukakan pandangan berasaskan fakta kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga serta pihak berkuasa berkaitan mengenai mekanisme tarif, kerangka Akses Pihak Ketiga dan pembangunan teknologi tenaga.

 

Selain itu, Penjanabebas memulakan lembaran baharu dengan kedudukan kewangan yang kukuh selepas laporan akaun bagi tempoh 2023 hingga 2025 menerima pendapat audit tanpa teguran.

 

Mengulas pelantikannya, Syahrunizam berkata pengaktifan semula Penjanabebas berlaku pada masa yang tepat ketika industri tenaga memerlukan satu suara bersama yang lebih kukuh bagi mewakili kepentingan semua pemain industri.

 

Menurut beliau, Penjanabebas akan memikul tiga peranan utama iaitu menjadi suara bersama dalam memastikan keselamatan dan kestabilan bekalan tenaga negara, memperkasa pembangunan bakat serta kepakaran tempatan, selain menghubungkan keseluruhan rantaian industri daripada aspek pembiayaan dan pelesenan sehingga ke bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

"Seiring kemajuan agenda peralihan tenaga negara, Penjanabebas bersedia bekerjasama rapat dengan kerajaan dan badan kawal selia dalam membentuk hala tuju masa depan tenaga termasuk tenaga boleh baharu dan tenaga nuklear yang dapat memperkukuh keselamatan tenaga negara sambil memastikan kos kekal berpatutan dan pembangunan terus mampan.

 

“Pendekatan menyeluruh itu akan memastikan semua pihak berkepentingan dalam rantaian industri tenaga mempunyai ruang untuk menyumbang kepada pembangunan sektor berkenaan, sekali gus mengukuhkan daya saing industri dalam jangka panjang,” katanya.

 

Selaras dengan penyusunan semula itu, Malakoff akan menempatkan urus setia Penjanabebas di syarikat berkenaan selain memperkukuh hubungan dua hala dengan kerajaan serta pihak berkuasa berkanun bagi menyokong pembangunan dasar dan industri tenaga negara.

 

Kebangkitan semula Penjanabebas mencerminkan komitmen berterusan Malakoff sebagai penjana kuasa bebas terbesar negara untuk memainkan peranan lebih besar dalam membentuk masa depan sektor tenaga Malaysia, selari dengan usaha mempercepat peralihan kepada sistem tenaga yang lebih bersih, berdaya tahan dan mampan. - DagangNews.com