KUALA LUMPUR 8 Julai - Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 25% ke atas Malaysia bermula 1 Ogos — kadar yang disifatkan oleh Presiden AS, Donald Trump sebagai "jauh lebih rendah" daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit dagangan negara kuasa dunia itu dengan Malaysia.
Kadar baharu itu juga lebih tinggi daripada tarif 24% yang sebelum ini dikenakan terhadap beberapa eksport Malaysia ke AS, yang ditangguhkan selama 90 hari dan berakhir hari ini.
Trump unveils first wave of steeper US tariffs, extends deadline
Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di platform Truth Social miliknya, Trump berkata dasar perdagangan Malaysia ketika ini telah menyebabkan hubungan dagangan antara kedua-dua negara menjadi berat sebelah dan tidak seimbang.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk menurunkan tarif 25% itu sekiranya Malaysia mengubah dasar perdagangannya.
Trump menjelaskan tarif tersebut akan dikenakan secara berasingan daripada sebarang tarif sektor tertentu yang sedia ada, dan sebarang cubaan untuk mengalihkan barangan melalui negara lain bagi mengelak tarif lebih tinggi akan dikenakan penalti dengan tarif yang sama tinggi.
Beliau turut memberi amaran sebarang tindakan Malaysia untuk menaikkan tarif terhadap barangan AS akan menyebabkan AS mengenakan tambahan tarif sebanyak 25% sebagai tindak balas.
"Sila faham bahawa tarif ini perlu untuk membetulkan dasar tarif dan bukan tarif serta sekatan perdagangan yang telah diamalkan Malaysia sejak bertahun-tahun, yang menyebabkan defisit dagangan AS dengan Malaysia menjadi tidak lestari," katanya.
Dalam surat itu juga, Trump menegaskan komitmen berterusan AS terhadap hubungan dagangan dengan Malaysia walaupun wujud defisit dagangan yang besar dengan negara ini.
Trump turut menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat Malaysia dalam ekonomi AS yang digambarkan beliau sebagai "pasaran nombor satu di dunia".
"Seperti yang anda maklum, tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia atau syarikat-syarikat di negara anda membuat keputusan untuk membina atau mengilang produk di dalam AS," katanya.
"Malah, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk meluluskan segala urusan dengan cepat, profesional dan rutin — dalam erti kata lain, dalam tempoh beberapa minggu," ujarnya.
Trump turut mengeluarkan surat serupa kepada beberapa negara lain termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Bangladesh, Thailand dan Afrika Selatan. - DagangNews.com








