NAFAS perkukuh ekosistem agromakanan menerusi kerjasama RM1.62 bilion sempena MAHA 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NAFAS perkukuh ekosistem agromakanan menerusi kerjasama RM1.62 bilion sempena MAHA 2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Sept - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memeterai beberapa kerjasama strategik bernilai keseluruhan RM1.62 bilion sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bagi memperkukuh agenda transformasi sektor pertanian negara.

 

Kerjasama yang dimeterai pada 3 dan 4 September 2026 itu merangkumi bidang input pertanian, pembangunan baja, peningkatan produktiviti pesawah, tanaman nanas serta pendigitalan sektor padi.

 

Kemuncak kerjasama berkenaan ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM1.5 bilion antara NAFAS, Guizhou Phosphate Chemical Group Co. Ltd. (GPC) dan Jiangsu Chemical Design Institute Co. Ltd. (CDIJS).

 

Kerjasama selama lima tahun itu memberi tumpuan kepada pembangunan rantaian industri baja bersepadu di Malaysia, termasuk pembangunan fasiliti pemprosesan bahan mentah baja fosfat, jaminan bekalan bahan mentah jangka panjang, pemindahan teknologi serta pembangunan kapasiti teknikal tempatan.

 

Menurut NAFAS, inisiatif itu turut membuka peluang kepada pembangunan industri hiliran baja dan bahan kimia yang lebih mampan serta berdaya saing, sekali gus menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

 

Pada 3 September 2026, NAFAS turut memeterai tiga memorandum dengan nilai keseluruhan RM121.55 juta.

 

Menerusi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB), MoU bersama Agricultural Chemicals (M) Sdn Bhd (ACM) memberi tumpuan kepada pemerkasaan produktiviti pesawah melalui penyediaan pakej input pertanian lengkap.

 

Sementara itu, NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memberi fokus kepada pembangunan Controlled Release Fertilizer (CRF) Baja Super Durian Peladang, termasuk penilaian keberkesanannya terhadap pertumbuhan tanaman dan kualiti hasil.

 

NAFAS Agri Services Sdn Bhd (NASSB) pula memperkukuh sektor nanas menerusi kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi membangunkan pakej pembajaan dan formulasi baja khusus untuk tanaman nanas jenis MD2 dan SG1.

 

Kerjasama turut meliputi usaha pendigitalan ekosistem penanaman padi bersama Meraque Services Sdn Bhd.

 

NAFAS berkata keseluruhan kerjasama itu mencerminkan komitmennya dalam memperkukuh rantaian nilai pertanian melalui input berkualiti, inovasi, teknologi, penyelidikan dan pembangunan industri, selari dengan aspirasi Pelan Reformasi NAFAS (PRN) 2.0.

 

Untuk rekod, keseluruhan lapan MoU dan MoA yang dimeterai NAFAS sempena MAHA 2026 melibatkan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM1.977 bilion, merangkumi pelbagai bidang strategik dalam ekosistem agromakanan negara.

 

NAFAS kekal komited memperluas jaringan strategik dan mewujudkan lebih banyak peluang kolaborasi bernilai tinggi bagi memperkasa komuniti peladang serta menyokong pembangunan sektor agromakanan yang lebih berdaya saing, moden dan mampan. - DagangNews.com