HHRG lantik Pengasas Weststar, Syed Azman Syed Ibrahim sebagai Pengerusi Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HHRG lantik Pengasas Weststar, Syed Azman Syed Ibrahim sebagai Pengerusi Eksekutif

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 SeptHHRG Berhad melantik Pengasas Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim sebagai Pengerusi Eksekutif bagi menerajui strategi pertumbuhan kumpulan tersebut.

 

Langkah itu termasuk mempercepat pembangunan kawasan seluas 60 hektar di Sungai Petani, Kedah yang bakal menampilkan litar perlumbaan bertaraf dunia dan taman perindustrian bertemakan pemotoran.

 

Menurut makluman kepada bursa, pelantikan itu membolehkannya memainkan peranan aktif dalam memberikan hala tuju strategik dan menyelia kemajuan projek, selain menilai peluang pelaburan baharu.

 

"Tanah ini dimiliki melalui kepentingan majoriti HHRG dalam OPen Road (SP Circuit) Sdn Bhd (61%) dan ORIC Development (SP) Sdn Bhd (51%) dengan kerja tanah di tapak kini hampir selesai," katanya.

 

Syed Azman turut melakukan lawatan strategik ke tapak bagi menilai kemajuan infrastruktur fizikal, manakala kumpulan itu kini meneliti pelaksanaan komersial bagi pembangunan bersepadu tersebut.

 

Pembangunan itu akan menjadikan litar perlumbaan bertaraf dunia sebagai komponen utama, selain taman perindustrian disasarkan memanfaatkan pertumbuhan industri di wilayah utara Semenanjung.

 

HHRG_DagangNews2026

 

Potensi projek turut disokong kedudukan strategik Sungai Petani dengan akses Lebuhraya Utara-Selatan serta berdekatan hab ekonomi dan perindustrian utama seperti Butterworth dan Kulim.

 

"Momentum perindustrian yang dipacu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) turut menyediakan asas pertumbuhan jangka panjang dan peluang ekonomi kepada pembangunan tapak berkenaan," jelas HHRG.

 

Tambahnya, Syed Azman yang berasal dari Sungai Petani, berpengalaman luas membina perniagaan melalui Weststar dalam sektor penerbangan, pertahanan, hartanah, pembinaan, tenaga dan automotif.

 

Beliau dalam kenyataan itu berkata, pelantikan tersebut amat bermakna kerana memberi peluang untuk menyumbang kepada pembangunan bandar kelahirannya, selain bekerjasama dengan pengurusan HHRG.

 

Dalam pada itu, pengalaman keusahawanan dan rangkaian antarabangsa dimilikinya dijangka membantu HHRG mengenal pasti peluang pelaburan serta membuka nilai jangka panjang aset strategiknya.

 

"Lembaga Pengarah melihat pelantikan tersebut sebagai langkah memperkukuh pengawasan eksekutif ketika kumpulan meneruskan agenda pembangunan dan pertumbuhan," jelas syarikat. - DagangNews.com