IPO Butterfield FB terlebih langgan 18.67 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Butterfield FB terlebih langgan 18.67 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept – Tawaran saham awam awal (IPO) Butterfield FB Berhad (BFB) mendapat sambutan menggalakkan apabila saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia terlebih langgan sebanyak 18.67 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Bahagian orang awam menerima sambutan memberangsangkan apabila sebanyak 12,670 permohonan bagi 786.67 juta saham baharu bernilai RM377.6 juta, berbanding hanya 40 juta saham yang diperuntukkan bagi kategori tersebut.

 

Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 7,773 permohonan diterima bagi 439.61 juta saham baharu yang mencatatkan kadar terlebih langganan sebanyak 20.98 kali.

 

Sementara itu, bahagian untuk orang awam pula menerima sebanyak 4,897 permohonan bagi 347.06 juta saham baharu dengan kadar terlebih langganan sebanyak 16.35 kali.

 

Semua Peruntukan Utama Dilanggan Sepenuhnya

BFB berkata, sebanyak 16 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada individu yang layak turut dilanggan sepenuhnya.

 

Selain itu, sebanyak 100 juta saham yang ditawarkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga telah diagihkan sepenuhnya.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 94 juta merupakan saham baharu yang diterbitkan, manakala enam juta lagi adalah saham sedia ada yang ditawarkan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Butterfield FB sasar kumpul RM72 juta besarkan kilang menerusi IPO di Pasaran ACE

 

Sebanyak 66 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian turut berjaya diagihkan sepenuhnya.

 

Secara keseluruhannya, sebanyak 166 juta saham telah diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI serta pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

 

Pengagihan Kepada Lebih 1,000 Pelabur

Berdasarkan kaedah pengagihan saham bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 20 juta saham baharu telah diperuntukkan kepada 1,302 pemohon yang berjaya daripada keseluruhan 7,773 permohonan diterima.

 

Bagi bahagian orang awam pula, sebanyak 20 juta saham baharu diagihkan kepada 1,504 pemohon yang berjaya.

 

Dalam penempatan persendirian, keseluruhan 166 juta saham telah diperuntukkan kepada seramai 1,083 pelabur.

 

Pelabur terbesar menerima sebanyak 25 juta saham, manakala tiga pelabur terbesar secara keseluruhan menerima 45.42 juta saham atau 27.36% daripada jumlah saham yang diagihkan menerusi penempatan persendirian.

 

Sementara itu, BFB berkata, tiada mana-mana pelabur yang menerima saham menerusi penempatan tersebut menjadi pemegang saham utama syarikat itu selepas penyenaraiannya, berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 800 juta saham selepas IPO. - DagangNews.com