KUALA LUMPUR 4 Sept — Pelabur asing terus mengurangkan pegangan dalam pasaran saham Malaysia dengan mencatatkan jualan bersih mencecah RM2 bilion sepanjang Ogos 2026, menurut analisis CGSI.
Perkembangan aliran keluar tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, menyebabkan pemilikan asing didapati terus susut kepada paras yang paling rendah dalam rekod bursa iaitu kira-kira 18.1%.
Ujarnya, jualan bersih asing berlaku dalam 17 daripada 19 hari dagangan sepanjang bulan berkenaan, sekali gus menunjukkan tekanan jualan yang berlaku secara berterusan terhadap ekuiti tempatan.
"Nilai jualan kasar pelabur asing pula meningkat kira-kira 25.2% bulan ke bulan (MoM) kepada RM21.6 bilion, mengatasi pembelian kasar yang naik 12.1% kepada RM19.7 bilion," jelas CGSI lagi.
Dengan aliran keluar itu, pelabur asing merekodkan jualan bersih RM4.9 bilion bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, manakala jumlah aliran keluar terkumpul sejak 2024 mencecah RM31.5 bilion.
Bagaimanapun, institusi tempatan kembali menjadi pembeli bersih pada Ogos 2026 dengan aliran masuk RM1.6 bilion, manakala pelabur runcit tempatan turut mencatatkan pembelian bersih RM375 juta.

Dari sudut prestasi ujar CGSI, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) cuma naik 0.1% MoM kepada 1,726 mata, berbanding indeks MSCI Emerging Markets (3.4%) dan MSCI All Country Asia ex-Japan (3.2%).
"Dalam kalangan pasaran serantau, Indonesia menjadi pasaran MIST paling kukuh apabila JCI melonjak 4.5% MoM, disokong sentimen perkembangan terhadap dasar fiskal dan ekonomi negara itu," tambahnya.
Di Bursa Malaysia pula, lapan daripada 13 indeks sektor mencatatkan kenaikan sepanjang Ogos 2026, dengan sektor utiliti meningkat 7.9%, diikuti pembinaan sebanyak 6.6% dan tenaga kira-kira 1.7%.
Sebaliknya jelas CGSI, sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) menjadi antara yang paling lemah apabila susut sebanyak 3.8%, disusuli sektor pengguna yang turun 1.6% dan telekomunikasi 0.7%.
Bagi kaunter dalam FBM KLCI, YTL Power International menjadi saham berprestasi terbaik pada bulan itu dengan lonjakan mencecah 37.6%, diikuti YTL Corporation (27.8%) dan Sunway Healthcare (9.8%).
"Sebaliknya, Mr DIY Group mencatatkan kejatuhan terbesar iaitu 12.7%, diikuti Petronas Chemicals Group yang susut 11.1% dan Axiata Group pula sebanyak 8.5%," kata firma itu lagi. - DagangNews.com








