Projek solar RM78 juta berpotensi jimatkan bil elektrik 32 loji rawatan air SADA di Kedah hingga 15% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek solar RM78 juta berpotensi jimatkan bil elektrik 32 loji rawatan air SADA di Kedah hingga 15%

Muhammad Sanusi Md Nor menekan butang sebagai gimik perasmian projek solar di loji rawatan air dikendalikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Kedah.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 4 Sept — Sebanyak 32 loji rawatan air (LRA) milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) di negeri tersebut bakal beralih kepada tenaga solar menerusi projek transformasi yang bernilai RM78 juta.

 

Langkah terbaharu itu yang dilaksanakan oleh Dekad Aliran Sdn Bhd, dijangka dapat membantu dalam mengurangkan kos elektrik sehingga 15% dan menstabilkan perbelanjaan tenaga dalam tempoh panjang.

 

Menurut kenyataan, projek berkenaan dengan kemudahan pembiayaan patuh Syariah daripada MBSB Bank Berhad dijangka menghasilkan kapasiti tenaga solar sehingga 22 megawatt (MW) menjelang akhir 2027.

 

"Inisiatif itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan SADA kepada bekalan elektrik konvensional, malah fasiliti beralih kepada sumber tenaga bersih menyokong operasi cekap dan mampan," katanya.

 

Fasa pertama projek itu melibatkan pelaburan RM5.77 juta di tiga loji utama, iaitu LRA Kuala Ketil Baru, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Sungai Ular, dengan lebih 2,500 panel solar akan dipasang Dekad Aliran.

 

Fasa permulaan tersebut dijangka menghasilkan kira-kira 200,000 kilowatt-jam (kWh) tenaga bersih setahun, selain memberikan kestabilan kos tenaga untuk tempoh sehingga 30 tahun yang akan datang.

 

Pelaksanaan struktur pembiayaan projek turut tidak melibatkan perbelanjaan modal awal oleh SADA, membolehkan syarikat itu menikmati manfaat penjimatan tenaga tanpa pelaburan awal yang besar.

 

Kedah SADA_DagangNews2026

 

"Dari sudut alam sekitar, keseluruhan projek dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO₂) sebanyak 1,100 tan metrik setahun, bersamaan kesan penanaman sekitar 50,000 pokok setiap tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Radzuan Osman berkata, pemasangan sistem solar di fasiliti membolehkan sebahagian tenaga sendiri dijana, serta meningkatkan kecekapan operasi dan kos tenaga.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata, pembiayaan projek infrastruktur membantu merapatkan jurang penyahkarbonan dengan pelaksanaan di lapangan.

 

Dalam pada itu, Pengarah Dekad Aliran, He Kar Lun, berkata pengalaman 18 tahun syarikat dalam kejuruteraan infrastruktur air dan sistem tenaga boleh diperbaharui (RE) menjadi asas projek itu.

 

"Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor merasmikan projek berskala besar tersebut, dengan kesemua lokasi LRA disasarkan siap mengikut jadual menjelang 2027," kata kenyataan itu.

 

Projek ini diklasifikasikan sebagai C1 Climate Supporting di bawah Climate Change and Principle-based Taxonomy (CCPT) dan menyokong usaha peralihan Malaysia kepada ekonomi rendah karbon. - DagangNews.com