KUALA LUMPUR 4 Sept – Airei Sdn Bhd memperluaskan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri pengilangan minyak sawit selepas pelaksanaan sistem kilang pintar keduanya mencatat peningkatan dari segi kadar perahan minyak dan kecekapan operasi.
Pelaksanaan terbaharu itu dibuat di Perak Motor Co. (PMC Oil Mill) di Teluk Intan, Perak dengan kapasiti pemprosesan 60 tan sejam berbanding 45 tan sejam bagi pelaksanaan pertama Airei.
Hasil awal menunjukkan Kehilangan Minyak Mesokarpa Berasaskan Basah (OLWB) di Stesen Penekan berkurangan 13% manakala Kadar Perahan Minyak (OER) meningkat antara 0.1% hingga 0.2%.
Sistem itu mengurangkan kebergantungan kepada operator asing sebanyak 20% pada bulan pertama pelaksanaan dengan pengurangan tersebut diunjurkan mencapai 40%.
Pengarah Urusan Bahagian Kilang Minyak Sawit Perak Motor, Steven Yow Thin Chin berkata peningkatan OER menjadi antara petunjuk utama keberkesanan sistem AI yang dilaksanakan di kilang berkenaan.
Katanya, penggunaan AI membantu mengurangkan kesilapan manusia dan kebergantungan kepada anggaran dalam merancang serta mengurus operasi kilang.
AI tingkatkan kecekapan operasi kilang
Pelaksanaan yang dilancarkan pada 27 Ogos itu dibuat menerusi kerjasama dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dengan matlamat memperluas penggunaan AI daripada peringkat pembuktian konsep kepada penerimagunaan komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, industri sawit sebagai komoditi strategik negara mempunyai potensi besar untuk mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi digital dan AI.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem kilang minyak sawit pintar Airei menunjukkan AI boleh membantu meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan penggunaan sumber dan memperbaiki prestasi pengeluaran.
Menurutnya, usaha itu juga selari dengan agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) untuk memperluas penggunaan inovasi tempatan dalam industri utama negara.
Airei berkata, sistemnya membantu mengenal pasti anomali pengeluaran, menganalisis punca masalah dan membuat pelarasan bagi memastikan proses operasi kekal dalam parameter yang ditetapkan.
Sistem tersebut juga membantu menyeragamkan parameter operasi dan prosedur operasi standard, selain memberikan pihak pengurusan gambaran lebih menyeluruh mengenai prestasi kilang melalui kawalan berpusat.
Sasar pasaran luar Malaysia
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Airei, Surendran Kuranadan berkata pelaksanaan kedua membuktikan teknologi berasaskan AI itu boleh diperluas kepada kilang dengan kapasiti pemprosesan lebih besar.
Beliau berkata, teknologi tersebut boleh diintegrasikan dengan peralatan dan proses sedia ada tanpa memerlukan sesebuah kilang minyak sawit dibina semula.
“Kami turut menyasarkan tempoh pulangan pelaburan sekitar 18 hingga 20 bulan, bergantung kepada kapasiti dan kos pelaksanaan di sesebuah kilang.
“Selain Malaysia, beberapa pihak dari Indonesia, Thailand, Mexico dan Colombia telah menunjukkan minat untuk meneroka penggunaan model operasi berasaskan AI yang sama,” katanya.
Dengan dua pelaksanaan pada kapasiti 45 dan 60 tan sejam, Airei kini menyasarkan kerjasama dengan pengusaha kilang minyak sawit serta kumpulan perladangan di Malaysia dan pasaran antarabangsa. - DagangNews.com








