Zetrix AI keluar daripada HeiTech Padu selepas lupuskan seluruh 16.9% pegangan pada RM27.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zetrix AI keluar daripada HeiTech Padu selepas lupuskan seluruh 16.9% pegangan pada RM27.5 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Sept - Zetrix AI Bhd keluar daripada HeiTech Padu Bhd selepas melupuskan keseluruhan pegangan sebanyak 16.9% atau 27.5 juta saham dalam penyedia perkhidmatan teknologi maklumat itu.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, Zetrix AI berkata unit milik penuhnya, MY EG Capital Sdn Bhd, melupuskan kesemua saham berkenaan menerusi urus niaga perniagaan langsung (DBT) pada 2 September 2026.

 

Pelupusan itu menyebabkan Zetrix AI dan pengasasnya, Wong Thean Soon atau lebih dikenali sebagai TS Wong, tidak lagi menjadi pemegang saham substansial HeiTech Padu berdasarkan kepentingan mereka dalam MY EG Capital.

 

Bagaimanapun, Wong masih memiliki 0.97% kepentingan langsung dalam HeiTech Padu.

 

Zetrix AI tidak mendedahkan identiti pembeli serta nilai urus niaga berkenaan dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

Namun, data Bloomberg menunjukkan lima blok saham HeiTech Padu berjumlah 27.5 juta saham bertukar tangan pada harga RM1 sesaham pada 2 September, iaitu premium 2.56% berbanding harga penutupan kaunter itu pada 97.5 sen pada hari sama.

 

Keseluruhan transaksi tersebut dianggarkan bernilai RM27.5 juta. 

 

Zetrix AI, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Bhd, mula memperoleh kepentingan dalam HeiTech Padu pada Mac 2024 apabila membeli 14.4% pegangan bernilai RM31.25 juta sebagai sebahagian daripada pelaburan untuk meneroka potensi kerjasama dengan syarikat teknologi berkenaan.

 

Pengambilalihan awal itu melibatkan 5.16 juta saham yang dibeli daripada pasaran terbuka pada RM2.13 sesaham serta 9.42 juta saham menerusi DBT pada harga purata RM2.15 sesaham.

 

Pegangan Zetrix AI dalam HeiTech Padu kemudiannya meningkat kepada 24.935% pada Ogos 2025, sebelum dikurangkan kepada 16.9% atau 27.5 juta saham pada November 2025.

 

Susulan pelupusan tersebut, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, kini merupakan pemegang saham terbesar HeiTech Padu dengan kepentingan 23.6% menerusi syarikat persendirian baginda, Rosetta Partners Sdn Bhd.

 

Pengasas HeiTech Padu, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib, pula memegang 2.77% kepentingan langsung dan 10.5% kepentingan tidak langsung.

 

Dalam perkembangan berkaitan, saham Zetrix AI kebelakangan ini berdepan tekanan jualan ketara sejak 27 Ogos, menyebabkan kaunter berkenaan jatuh ke paras terendah dalam tempoh 12 tahun pada 22 sen pada 2 September sebelum pulih untuk ditutup pada 25.5 sen pada Jumaat.

 

Tekanan jualan itu telah menghakis kira-kira RM3.3 bilion daripada permodalan pasaran Zetrix AI.

 

Wong sebelum ini dilaporkan berkata beliau memerlukan masa untuk menyelesaikan penjualan secara paksa susulan tekanan terhadap saham syarikat itu ketika mengadakan sidang persidangan dengan penganalisis dan pelabur minggu lalu.

 

Sementara itu, HeiTech Padu turut mengalami tekanan jualan pada 28 Ogos apabila sahamnya merosot sebanyak 30%, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengeluarkan pertanyaan mengenai aktiviti pasaran luar biasa (UMA).

 

Kaunter HeiTech Padu ditutup tiga sen atau 3.1% lebih tinggi pada 99 sen pada Jumaat, memberikan syarikat itu permodalan pasaran sebanyak RM161.4 juta. - DagangNews.com