KUALA LUMPUR 8 Julai - Malaysia menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneruskan proses libat urus serta rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) bagi mencari penyelesaian seimbang dan komprehensif berhubung isu tarif 25% yang dikenakan.
Kementerian itu menegaskan, Malaysia tetap komited untuk mengekalkan serta mengukuhkan hubungan perdagangan dan ekonomi dengan AS, yang disifatkan sebagai saling menguntungkan dan penting untuk pertumbuhan pekerjaan serta ekonomi di kedua-dua negara.
Katanya, perbincangan akan tertumpu kepada penjelasan skop dan kesan tarif yang diumumkan serta menangani kebimbangan berkaitan ketidakseimbangan perdagangan dan akses pasaran.
“Usaha-usaha ini masih berjalan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai hasil yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak.
"Kami percaya proses libat urus secara konstruktif dan dialog berterusan adalah jalan terbaik ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: AS kenakan tarif 25% ke atas Malaysia mulai 1 Ogos, lebih tinggi daripada tarif asal 24%
Kerajaan Malaysia mengambil maklum mengenai pengumuman terbaharu Kerajaan AS yang akan mengenakan tarif timbal balik sebanyak 25% ke atas eksport Malaysia ke AS, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Langkah itu, yang dilihat sebagai sebahagian daripada penyesuaian dasar perdagangan AS secara lebih meluas, dijangka memberi kesan besar kepada pengeksport tempatan serta hubungan perdagangan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
MITI berkata, AS merupakan merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama negara. Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala meningkat hampir 30% kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion), dengan eksport ke AS mencecah RM198.7 bilion (AS$43.7 bilion) dan import pula sebanyak RM126.3 bilion (AS$27.7 bilion).
Pihak berkuasa Malaysia turut memberi amaran bahawa langkah sepihak seperti ini berpotensi mengganggu operasi perniagaan, rantaian bekalan, serta aliran pelaburan yang menguntungkan kedua-dua negara.
“Kita boleh mencari penyelesaian yang boleh diterima bersama demi melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut menegaskan komitmennya bagi melindungi kepentingan perniagaan, pekerja, dan pengguna tempatan, dan bersedia mengambil semua langkah yang perlu bagi mengurangkan kesan daripada pelaksanaan tarif baharu ini.- DagangNews.com








