Chengco berusaha kukuhkan rangka kerja audit selepas digantung AOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chengco berusaha kukuhkan rangka kerja audit selepas digantung AOB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Jun - Chengco PLT akan terus berusaha bagi mengukuhkan rangka kerja audit selepas Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menggantung pendaftaran firma itu selama dua tahun disebabkan "isu serius berkaitan kualiti audit".

 

Sambil mengakui tindakan itu memberi kesan terhadap perkhidmatan audit entiti berkepentingan awam (PIE), firma itu berkata, ia sedang membantu klien yang terjejas dengan peralihan yang teratur dan komited untuk meminimumkan sebarang kelewatan dalam jadual pelaporan kewangan.

 

“Pasukan kami sedang bekerjasama rapat dengan setiap pelanggan bagi memudahkan pemindahan fail audit dan memberikan sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagaimanapun, firma itu menjelaskan, semua operasi lain, termasuk audit ke atas entiti tidak tersenarai, masih berjalan seperti biasa.

 

ARTIKEL BERKAITAN: AOB gantung pendaftaran firma audit Chengco selama 2 tahun bermula 12 Jun 2025

 

Chengco berkata, penggantungan tersebut susulan semakan pada tahun 2023 yang mengenal pasti kelemahan berulang dalam pematuhan terhadap Piawaian Antarabangsa mengenai Pengauditan dan Kawalan Kualiti.

 

Firma telah melaksanakan program penambahbaikan secara sistematik, termasuk memperkukuh rangka kerja pengurusan kualiti, menambah baik proses kawalan dan menyepadukan pembangunan profesional berterusan di seluruh amalannya berikutan penemuan awal oleh AOB.

 

“Kami amat kesal dengan kelalaian yang telah membawa kepada penggantungan ini dan kami komited sepenuhnya untuk memulihkan kepercayaan melalui pematuhan yang teguh terhadap piawaian kualiti, ketelusan, dan profesionalisme,” tambahnya.

 

AOB, dalam pengumuman mengenai penggantungan Chengco baru-baru ini, turut mengenakan penggantungan selama dua tahun ke atas rakan kongsi audit Chengco, iaitu Hong Thuan Boon dan Yap Peng Boon.

 

Tiga lagi rakan kongsi iaitu Tan Wae Leng, Kong Tung Sam dan Ng Kee Siang juga dilarang daripada menerima pelanggan dan menjalankan audit ke atas mana-mana entiti berkepentingan awam selama setahun, berkuat kuasa mulai 30 April lalu.

 

Chengco sebelum ini pernah dikenakan tindakan oleh AOB pada tahun 2019. Thuan Boon dan Peng Boon juga telah dikenakan tindakan dalam kes tersebut.

 

Larangan terbaharu itu susulan penemuan AOB mengenai pelbagai pelanggaran yang melibatkan kegagalan Chengco untuk mematuhi piawaian antarabangsa yang diguna pakai oleh Institut Akauntan Malaysia semasa pengauditan ke atas tiga entiti berkepentingan awam.

 

Antara kelemahan yang dikenal pasti oleh lembaga tersebut termasuk kegagalan mendapatkan bukti audit yang mencukupi dalam bidang seperti pinjaman, baki pembukaan dan pelarasan tahun sebelumnya, penggunaan anggapan kesinambungan perniagaan (going concern), akaun belum bayar dan peruntukan, hasil, kos jualan, saham keutamaan boleh tukar, dan muhibah (goodwill). - DagangNews.com