KUALA LUMPUR 1 Julai — Auro Holdings Berhad berjaya mengurangkan kerugian bersih secara ketara kira-kira 86.57% kepada sebanyak RM1.04 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26).
Menurut kumpulan itu, perkembangan tersebut didorong oleh prestasi cemerlang segmen makanan dan minuman (F&B), penerimaan wang penyelesaian perundangan serta pembalikan peruntukan penalti cukai.
Katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pencapaian ini menunjukkan pemulihan drastik berbanding kerugian bersih sebanyak RM7.72 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.
"Hasil keseluruhan naik sebanyak 29.1% kepada RM24.43 juta bagi FY26, berbanding RM18.92 juta pada FY25, sebahagian besarnya disumbangkan oleh segmen F&B yang kini nadi utama perniagaan," kata Auro.
Segmen itu yang mengendalikan jenama HEYTEA mencatatkan hasil RM23.14 juta, meliputi 94.7% daripada jumlah keseluruhan pendapatan, dan diperkukuhkan lagi dengan perolehan sijil Halal pada akhir 2025.

Situasi itu membuka ruang kepada pangkalan pelanggan yang lebih luas di Malaysia. Setakat ini, ia mengendalikan sembilan cawangan HEYTEA yang menawarkan minuman teh premium di lokasi strategik.
Di samping itu, Auro berkata, pengurangan kerugian dibantu penerimaan wang penyelesaian berjumlah RM2.15 juta dan pembalikan peruntukan penalti cukai sebanyak RM1.41 juta susulan rayuan diluluskan.
"Bagi memelihara sumber untuk operasi dan peluang pertumbuhan masa depan, Lembaga Pengarah tidak mencadangkan sebarang pembayaran dividen bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026," jelasnya.
Melangkah ke hadapan, ia kekal optimis terhadap pasaran minuman teh premium di Malaysia dan komited untuk memperkukuh kehadiran jenama HEYTEA serta meneroka peluang pengambilalihan yang strategik.
Usaha itu kata Auro, terutama dalam sektor F&B bagi meningkatkan nilai pemegang saham setelah menjana aliran tunai operasi positif RM2.88 juta, mencerminkan pengurusan berdisiplin. - DagangNews.com








