KUALA LUMPUR 1 Julai — Kerajaan terus memperhalusi pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar apabila lebih 30,000 permohonan bagi meningkatkan kuota BUDI Madani Diesel sudah pun diluluskan.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, tambahan kepada 300 liter itu memberi kelegaan kepada golongan yang menggunakan diesel dalam kuantiti tinggi untuk aktiviti ekonomi.
Penambahan kuota itu selepas kerajaan mengambil kira maklum balas para peniaga kecil, dan penyedia perkhidmatan terutama di luar bandar yang memerlukan had diesel lebih tinggi berbanding 200 liter.
"Kumpulan sasar berkenaan boleh memohon kuota tambahan sebanyak 100 liter lagi menerusi portal rasmi BUDI Madani, dan setakat semalam sahaja lebih 30,000 permohonan telah diluluskan," jelas beliau.
Amir Hamzah ketika meninjau pelaksanaan hari pertama BUDI Madani Diesel di sebuah stesen minyak di Putrajaya, menyifatkan berjalan lancar selepas fasa akses awal diperkenalkan bermula 27 Jun 2026.
Katanya, sepanjang tempoh akses awal itu, hampir 80,000 pengguna memanfaatkan kemudahan tersebut, menunjukkan tahap kesediaan sistem dan penerimaan baik dalam kalangan penerima subsidi bersasar.

Selain itu, dalam usaha meningkatkan kemudahan kepada pengguna, kerajaan memperkenalkan beberapa penambahbaikan termasuk membenarkan pemindahan kuota kenderaan kepada ahli keluarga terdekat.
"Setakat 30 Jun 2026, lebih 1,000 permohonan pemindahan kuota kepada anggota keluarga terdekat sudah diterima sebelum diluluskan melalui mekanisme yang disediakan oleh kerajaan," ujar Amir Hamzah.
Penggunaan BUDI Madani Diesel juga mudah kerana diselaraskan dengan BUDI RON95, selain syarikat minyak memperkenalkan aplikasi khas dan bantuan petugas mempercepatkan urusan pengisian di pam.
Mengulas kemampuan kerajaan mengekalkan subsidi susulan penurunan harga minyak mentah dunia, beliau berkata pendekatan subsidi bersasar membolehkan pengurangan ketirisan disalurkan kepada rakyat.
Jelasnya, kejayaan itu membolehkan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10, dan membuktikan manfaat penjimatan dapat dikembalikan kepada pengguna.
"Pada masa sama, perkembangan geopolitik di Timur Tengah memberi petanda positif kestabilan bekalan dan Malaysia dalam kedudukan baik meneruskan dasar subsidi bersasar secara mampan. - DagangNews.com








