KUALA LUMPUR 1 Julai - Pengeluar peralatan pengagihan elektrik, Leapco Holdings Bhd merancang mengumpul dana menerusi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi membiayai pelan pengembangan perniagaan, meningkatkan kapasiti pengeluaran serta mengukuhkan kehadiran syarikat di seluruh negara.
Berdasarkan draf prospektusnya, syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang itu akan menggunakan sebahagian daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) untuk memperoleh mesin pemotong laser serta peralatan baharu bagi kilangnya di Batu Kawan.
Dana yang diperoleh juga akan digunakan untuk menaik taraf perkakasan dan perisian komputer selain membuka pejabat baharu di Lembah Klang dan beberapa lokasi strategik lain di Malaysia.
Leapco berkata, pembukaan pejabat baharu itu akan membolehkan syarikat berada lebih hampir dengan pelanggan berpotensi, sekali gus meningkatkan daya saing dalam mendapatkan kontrak baharu dan menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan.
Syarikat itu mengkhusus dalam pembuatan papan suis voltan rendah (low-voltage switchboard) dan suisgear voltan sederhana (medium-voltage switchgear), yang digunakan untuk mengagihkan bekalan elektrik kepada peralatan pengagihan lain sebelum disalurkan kepada pengguna akhir.
Produk Leapco digunakan oleh kontraktor yang menyediakan perkhidmatan kepada pelbagai sektor termasuk pusat data, semikonduktor, peranti perubatan dan elektronik, selain pemilik kilang, loji serta bangunan komersial.
Bagi tahun kewangan 2025, syarikat mencatat keuntungan bersih sebanyak RM13 juta dengan hasil sebanyak RM67 juta.
Selain membiayai pelan pengembangan, hasil IPO itu turut akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, menyediakan modal kerja dan menampung kos penyenaraian.
Cadangan IPO itu turut melibatkan tawaran jualan saham sedia ada oleh lima pemegang saham utama syarikat, iaitu Timbalan Pengerusi Eksekutif Goh Swee Heh, Ketua Pegawai Operasi Goh Hun Meng, Pengarah Eksekutif Choy Loo Fan, Ketua Pegawai Eksekutif Choy Kam Huei dan Ketua Pegawai Perniagaan Lim Chin Kian.
Secara keseluruhannya, sehingga 30% pegangan ekuiti Leapco akan ditawarkan kepada pelabur menerusi IPO tersebut.
UOB Kay Hian bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi cadangan penyenaraian itu. - DagangNews.com








