Ant International lancar Pusat Pembangunan Global di Malaysia, fokus pembangunan AI dan teknologi kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ant International lancar Pusat Pembangunan Global di Malaysia, fokus pembangunan AI dan teknologi kewangan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Ant International melancarkan Pusat Pembangunan Global (GDC) di Malaysia seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab utama inovasi, bakat digital dan teknologi kewangan generasi baharu di peringkat global.

 

Pusat operasi yang terletak di The Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur itu dijangka menjadi lokasi pembangunan rumusan teknologi kewangan generasi baharu selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor teknologi di Malaysia.

 

Ant International adalah unit perniagaan antarabangsa kepada Ant Group yang menyediakan pelbagai perkhidmatan teknologi kewangan termasuk pembayaran digital rentas sempadan, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta teknologi pembayaran global.

 

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir.

 

Sehingga kini, syarikat itu telah mewujudkan kira-kira 1,500 jawatan dalam sektor teknologi kewangan di Malaysia, dengan lebih separuh daripada tenaga kerjanya terdiri daripada kakitangan teknologi yang menyokong operasi global syarikat dalam bidang AI, sistem pembayaran, pendigitalan PKS dan pembangunan teknologi kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ant International, Cyril Han berkata penubuhan pusat berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk menyokong aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030 di samping mempercepatkan usaha pendigitalan negara.

 

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kepimpinan yang jelas serta ekosistem teknologi dan perniagaan yang semakin matang serta meletakkan negara di landasan untuk muncul sebagai hab serantau dan global bagi inovasi digital serta kecerdasan buatan.

 

t

 

Sementara itu, Anwar berkata, Ant International merupakan syarikat teknologi kewangan pertama yang memilih Malaysia sebagai pangkalan bagi Pusat Pembangunan Globalnya.

 

Menurut beliau, keputusan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap keupayaan Malaysia untuk menyokong aktiviti bernilai tinggi dalam bidang teknologi, inovasi, kecerdasan buatan dan penyampaian perkhidmatan global.

 

Katanya, penubuhan GDC itu turut memperluaskan kerjasama sedia ada antara Ant International dengan pelbagai organisasi di Malaysia bagi mempercepatkan transformasi digital, meningkatkan keterangkuman kewangan serta memperkukuh hubungan pembayaran rentas sempadan.

 

Dalam masa sama, Ant International akan memperkukuh kerjasama dengan kerajaan serta universiti tempatan termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi bagi melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang AI dan teknologi kewangan menerusi penganjuran hackathon (pertandingan pembangunan teknologi), program latihan dan kurikulum yang dirangka khusus.

 

Inisiatif berkenaan dijangka membuka lebih banyak laluan kepada pembangunan modal insan digital negara, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi utama pembangunan teknologi dan inovasi di rantau ini. - DagangNews.com