KUALA LUMPUR 1 Julai – Sunway Bhd mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Bersama kumpulan berkuat kuasa 1 Julai 2026, menggantikan Datuk Seri Idris Jala yang bersara daripada jawatan tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway berkata Abdul Wahid, yang kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat akan mengambil alih peranan itu sebagai sebahagian daripada perubahan dalam kepimpinan Lembaga Pengarah.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada Idris Jala atas sumbangan dan kepimpinannya sepanjang menyandang jawatan Pengerusi Bersama Sunway serta mendoakan kejayaan beliau dalam segala usaha pada masa hadapan.
Abdul Wahid bukan nama asing dalam sektor korporat negara dengan pengalaman luas menerajui beberapa syarikat utama Malaysia merentasi sektor perbankan, telekomunikasi dan pelaburan.
Abdul Wahid, 62, memiliki latar belakang kukuh dalam bidang kewangan dan korporat, termasuk kelayakan profesional sebagai Felo Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) serta keahlian dalam Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Beliau turut menerima beberapa doktor falsafah kehormat dalam bidang ekonomi dan pentadbiran perniagaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan, mencerminkan sumbangan besar beliau dalam pembangunan ekonomi negara.
Sepanjang kerjayanya, Abdul Wahid pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank bermula Mei 2008.
Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad dari Julai 2004 sehingga proses pemisahan dengan Axiata Group Berhad pada April 2008.
Beliau juga pernah menerajui UEM Group Berhad sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, di mana beliau memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan syarikat tersebut selepas pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad pada 2001.
Dalam sektor awam, Abdul Wahid pernah berkhidmat sebagai Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perancangan ekonomi dari Jun 2013 hingga Jun 2016.
Beliau turut memegang jawatan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad dari Ogos 2016 hingga Jun 2018, selain menamatkan tempoh lima tahun sebagai Pengerusi Bursa Malaysia Berhad pada 30 April 2025.
Kini, beliau juga merupakan Pengerusi WWF Malaysia dan MySDG Foundation dan turut menyandang pelbagai peranan akademik dan penasihat, termasuk sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia serta felo pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies.
Pada 5 November 2025, IOI Corporation Bhd, mengumumkan pelantikan Abdul Wahid sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif baharu syarikat itu dan sebelum itu dilantik sebagai Pengerusi Cypark Resources Bhd. - DagangNews.com








