IPOH 1 JULAI - Hotel Travelodge Ipoh diberi pengiktirafan apabila menerima Anugerah Hotel Pilihan Utama Pelancong di Bandar Raya Ipoh sempena Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-38 Bandar Raya Ipoh.
Ini sekali gus mengiktiraf sumbangan hotel itu kepada pembangunan industri pelancongan dan hospitaliti di Ipoh.
Anugerah daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu mencerminkan komitmen hotel berkenaan dalam menyediakan perkhidmatan hospitaliti berkualiti serta pengalaman terbaik kepada pelancong tempatan dan luar negara.
Sebagai antara hotel bertaraf empat bintang terkemuka di Ipoh, Hotel Travelodge Ipoh menjadi pilihan pelancong, pengembara perniagaan, keluarga serta penganjur acara.

Ini kerana ia menawarkan kemudahan moden, keselesaan dan lokasi strategik di tengah bandar.
Hotel itu terletak berhampiran pelbagai tarikan warisan, destinasi makanan popular dan pusat komersial, sekali gus menjadikannya antara pilihan utama pengunjung yang datang ke Ipoh.
Pengurus Besar Hotel Travelodge Ipoh, Cheryl Lum berkata, pengiktirafan itu merupakan satu penghormatan besar kepada seluruh warga kerja hotel yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap tetamu.
"Pengiktirafan ini amat bermakna kerana ia mencerminkan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh para tetamu kepada kami selama ini.
"Kami akan terus komited menawarkan pengalaman hospitaliti yang cemerlang di samping menyokong usaha memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai antara destinasi pelancongan terbaik di Malaysia," katanya.


Beliau berkata, anugerah tersebut turut menjadi pemangkin kepada pihaknya untuk terus meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan serta kerjasama strategik dengan pemain industri pelancongan.
Menurutnya, pengiktirafan itu juga selari dengan aspirasi bandar raya Ipoh untuk terus berkembang sebagai bandar pintar, mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Hotel Travelodge Ipoh turut merakamkan penghargaan kepada MBI atas pengiktirafan yang diberi serta berterima kasih kepada para pelanggan, rakan strategik dan seluruh kakitangannya yang menjadi tunjang kepada kejayaan tersebut.
“Sempena sambutan ulang tahun ke-38 Bandar Raya Ipoh, kami beriltizam untuk terus menyambut kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan negeri Perak,” ujarnya. - DagangNews.com








