10 syarikat dipilih sertai program sulung SemiconStart Malaysia bagi percepatkan pengkomersialan teknologi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

10 syarikat dipilih sertai program sulung SemiconStart Malaysia bagi percepatkan pengkomersialan teknologi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Julai – Sebanyak 10 syarikat pemula (startup) semikonduktor dipilih menyertai program sulung SemiconStart Malaysia, satu inisiatif baharu negara dalam memperkukuh pembangunan syarikat teknologi tempatan dalam industri tersebut.

 

Program yang diterajui Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dengan kerjasama Silicon Catalyst UK itu merupakan program pembinaan syarikat usaha niaga (venture-building) pertama di Malaysia yang dikhususkan kepada syarikat pemula dalam sektor semikonduktor.

 

SemiconStart Malaysia diwujudkan bagi membantu syarikat peringkat awal mengatasi cabaran unik industri semikonduktor seperti kos pembangunan prototaip yang tinggi, tempoh pembangunan yang panjang, keperluan pengesahan teknikal yang kompleks serta halangan untuk mengkomersialkan teknologi.

 

Program itu turut berperanan sebagai jambatan daripada peringkat reka bentuk sehingga pengeluaran dan pemasaran dengan menghubungkan syarikat peserta kepada mentor, pakar teknikal, pelabur, rakan reka bentuk, ujian, fabrikasi serta rangkaian pengkomersialan.

 

10 syarikat tersebut ialah:

1.    SkyeChip Semi Sdn Bhd
2.    GreatAsic Technology Sdn Bhd
3.    FusionAP Sdn Bhd
4.    nanoSkunkWorkX Sdn Bhd
5.    Silicon X Sdn Bhd 
6.    Channel Microsystems Sdn Bhd
7.    FirstChip Sdn Bhd
8.    Kirana Semikonduktor Sdn Bhd
9.    Compound Sdn Bhd
10.  Aphelia Sdn Bhd

 

Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata program selama setahun itu bertujuan membantu 10 syarikat berkenaan berkembang daripada syarikat pemula kepada syarikat peringkat pertengahan yang mampu bersaing di peringkat global.

 

Beliau berkata, walaupun penyenaraian awam permulaan (IPO) masih terlalu awal, ia kekal menjadi matlamat jangka panjang bagi syarikat yang menyertai program tersebut.

 

"IPO masih terlalu awal, tetapi itulah matlamat utama yang ingin kita capai," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran SemiconStart Malaysia hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Datuk Mohammad Hazani Hassan berkata kohort pertama program itu merupakan permulaan kepada usaha membangunkan lebih banyak syarikat semikonduktor tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

 

Beliau berkata, fasa pertama program disokong oleh peruntukan awal sebanyak RM10 juta manakala tambahan RM10 juta lagi sedang dirancang apabila syarikat peserta memasuki peringkat seterusnya dalam program inkubasi.

 

"Pada masa sama, kami turut menghubungkan syarikat-syarikat ini dengan firma modal teroka (venture capital) antarabangsa supaya mereka tidak bergantung kepada pembiayaan tempatan semata-mata, selain memanfaatkan kerjasama dengan firma modal teroka tempatan seperti Khazanah dan syarikat pelaburan strategik lain," katanya.

 

Mohammad Hazani berkata, kohort pertama akan mengikuti program bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2027 sebelum dinilai semula dan diperkenalkan kepada pelabur serta rakan strategik bagi pusingan pembiayaan serta fasa pertumbuhan seterusnya.

 

Beliau berkata, kebanyakan syarikat yang dipilih kini berada pada Kesediaan Teknologi (TRL) tahap empat hingga enam, iaitu teknologi telah dibangunkan dan diuji pada peringkat awal dan program itu menyasarkan untuk membantu mereka mencapai TRL lapan sebelum teknologi masing-masing dikomersialkan. - DagangNews.com