KUALA LUMPUR 12 Jun - Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menggantung pendaftaran firma audit, Chengco PLT (CCO) selama dua tahun berkuat kuasa 12 Jun 2025 berikutan isu kualiti audit yang serius.
AOB juga mengenakan sekatan terhadap lima rakan kongsi audit CCO yang merupakan rakan kongsi penglibatan dan penyemak kawalan kualiti penglibatan (ECQR) bagi tiga entiti kepentingan awam (PIE).
Lembaga itu menggantung Hong Thuan Boon dan Yap Peng Boon selama dua tahun, selain turut melarang melarang Tan Wae Leng, Kong Tung Sam dan Ng Kee Siang daripada menerima pelanggan dan mengaudit mana-mana PIE atau dana jadual selama satu tahun.
Penggantungan dan larangan itu berkuat kuasa serentak mulai 30 April 2025.
"Sekatan itu berikutan penemuan AOB tentang pelbagai pelanggaran berhubung kegagalan CCO untuk mematuhi keperluan berkaitan Piawaian Pengauditan Antarabangsa (ISA) seperti yang diterima pakai oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) semasa mengaudit ketiga-tiga PIE," katanya dalam satu kenyataan.
Penemuan tersebut melibatkan bidang audit asas dan utama, termasuk kegagalan mendapatkan bukti audit yang mencukupi dalam bidang seperti pinjaman bank, baki pembukaan dan pelarasan tahun sebelumnya, penggunaan andaian usaha berterusan, pemiutang lain dan akruan, hasil, kos jualan, saham keutamaan boleh tukar boleh tebus dan muhibah.
Lembaga itu berkata, kekurangan audit berulang juga ditemui dalam kos pembangunan hartanah dan simpanan tetap.
"Di samping itu, EQCR gagal menyemak dengan secukupnya dokumentasi audit utama, terutamanya yang berkaitan dengan pertimbangan penting dan bidang risiko. Ini memberi kesan negatif terhadap kualiti audit keseluruhan.
"Penemuan ini lazim di seluruh tugasan audit yang diperiksa dan ada yang berulang daripada pemeriksaan AOB yang lalu terhadap CCO," katanya.
Walaupun sebelum ini telah didenda oleh AOB pada 2019, CCO gagal menunjukkan peningkatan dalam kualiti audit keseluruhan.
Thuan Boon dan Peng Boon juga sebelum ini telah diekanakan sekatan oleh AOB pada 2019.- DagangNews.com








