LC Wakaful Digital lancar Bursa Sosial pertama, Impakrintas di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LC Wakaful Digital lancar Bursa Sosial pertama, Impakrintas di Malaysia

Antara aktiviti anjuran NPO yang dipaparkan di web Impakrintas
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb – Bursa Sosial pertama di Malaysia, Impakrintis.com yang dikendalikan LC Wakaful Digital Sdn Bhd (LCWD) memulakan operasinya hari ini untuk memudahkan pengumpulan dana bagi organisasi tidak berteraskan keuntungan (NPO) di Malaysia. 

 

Pelancaran itu dibuat selepas LCWD dilantik oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebagai pengendali pertama Platform Bursa Sosial tersebut.

 

Buat permulaan, enam NPO telah memulakan kerjasama dengan Impakrintas, termasuk Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia, Yokuk Community Palliative Care dan OrphanCare, Food Aid Foundation,  Suriana Welfare Society dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia.

 

Impakrintas membolehkan individu dan syarikat membuat sumbangan tunai secara terus kepada NPO yang diluluskan, dengan tujuan menyokong projek-projek berimpak sosial. 

 

Platform ini memberi penekanan kepada ketelusan dan keberkesanan penggunaan dana semua NPO tersebut.

 

Projek yang layak disenaraikan di Impakrintas merangkumi kebajikan sosial, pemeliharaan budaya dan warisan, serta inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian di seluruh Malaysia.

 

Menurut LCWD, platform ini dilengkapi dengan sistem penyaringan dan pendaftaran NGO, infrastruktur penyenaraian projek, serta alat pelaporan, pemantauan dan tadbir urus yang bertujuan memastikan setiap projek mendapat pengurusan dan pengawasan yang rapi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: SC lantik LC Wakaful Digital sebagai pengendali platform Bursa Sosial pertama Malaysia

 

LCWD juga menyediakan sokongan untuk penglibatan korporat dan pemantauan pematuhan berterusan, membolehkan syarikat yang berminat untuk menyumbang turut mengikuti kemajuan projek yang disokong.

 

Ketua Pegawai Eksekutif LCWD, Firdaus Mohamed berkata platform ini menggabungkan pengawasan peraturan, infrastruktur teknologi dan penglibatan komuniti dalam satu rangka kerja tunggal.

 

“Pendekatan ini membantu sektor kebajikan bergerak ke arah model yang lebih berkesan dan bertanggungjawab dengan aspek tadbir urus, pendedahan maklumat dan ketelusan dalam perjalanan pengumpulan dana.

 

“Impakrintas membolehkan penyumbang memantau penggunaan sumbangan mereka dengan lebih jelas,” katanya dalam satu kenyataan.

 

LCWD adalah anak syarikat milik penuh Gobarakah Tech Sdn Bhd dan membangunkan infrastruktur digital berlesen untuk ekosistem kewangan sosial. Gobarakah Tech memberi fokus kepada platform teknologi kewangan dan impak sosial bagi meningkatkan ketelusan dan jejak audit dalam sektor kebajikan.

 

 

 

 

 

 

Inisiatif Impakrintas dijangka dapat memperkukuh piawaian ketelusan dan tadbir urus dalam sektor kebajikan di Malaysia, sambil memberi keyakinan kepada penyumbang mengenai penggunaan dana mereka.

 

Dengan pelancaran Impakrintas, LCWD berharap dapat menggalakkan lebih ramai individu dan syarikat terlibat dalam projek sosial, seterusnya memacu pertumbuhan sektor kewangan sosial yang lebih mampan dan berimpak tinggi di Malaysia. - DagangNews.com