KUALA LUMPUR 8 Jun – Supreme Consolidated Resources Berhad mencatatkan urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) melepasi 1% dalam operasi harian mencecah RM1.78 juta setakat 28 Mei 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, sebahagian besar transaksi berkenaan melibatkan pelbagai aktiviti pembelian dan jualan produk makanan dengan beberapa syarikat tertentu.
Nilai transaksi tersebut mewakili kira-kira 1.53% daripada aset bersih teraudit kumpulan sebanyak RM116.36 juta pada 30 September 2025, dan tertakluk kepada Peraturan Penyenaraian di Pasaran ACE.
"RRPT ini melibatkan antaranya My Green Integrated Farming (M) Sdn Bhd, Borneo Gourmet (M) Sdn Bhd, WHTS Resources Sdn Bhd dan Fortune Supreme Food Supply (Sibu) Sdn Bhd," jelas Supreme Consolidated.
Transaksi terbesar melibatkan Fortune Supreme Food Supply dengan nilai gabungan RM1.7 juta menerusi pembelian oleh Supreme Marketing (Sibu) Sdn Bhd sebanyak RM1.04 juta dan jualan produk RM665,000.
Selain itu, transaksi lain melibatkan jualan kepada WHTS Resources bernilai RM46,000, pembayaran yuran penyelenggaraan serta pembelian produk dan perkhidmatan daripada My Green bernilai RM31,000.
Supreme Consolidated berkata semua RRPT itu merupakan urus niaga bersifat hasil atau perdagangan dan diperlukan bagi menyokong operasi harian termasuk aktiviti perolehan, serta penjualan produk.
"Lembaga pengarah berpandangan semua urus niaga dibuat secara telus, berasaskan prinsip transaksi bebas mengikut terma komersial biasa yang tidak lebih menguntungkan pihak berkaitan," jelasnya.
Ujarnya, transaksi itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih sesaham, tahap penggearan, modal saham atau pegangan pemegang saham utama kumpulan bagi FY26.
Memandangkan nilai RRPT berkenaan hanya mewakili kira-kira 1.53% daripada aset bersih kumpulan, Supreme Consolidated menjelaskan kelulusan pemegang saham tidak diperlukan pada masa ini.
Bagaimanapun tegas kumpulan tersebut, mandat pemegang saham akan diperoleh sekiranya nilai urus niaga berkenaan melebihi ambang 5% pada masa hadapan. - DagangNews.com








