KUALA LUMPUR 23 Julai – KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) mencatat prestasi kewangan terbaik sejak disenaraikan di Bursa Malaysia selepas merekodkan peningkatan ketara dalam hasil, keuntungan serta agihan kepada pemegang unit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026).
Bagi FY2026, hasil kasar KIP REIT meningkat 30.1% kepada RM177.1 juta berbanding RM136.1 juta pada tahun kewangan sebelumnya, manakala pendapatan bersih hartanah melonjak 34.1% kepada RM129.9 juta.
Prestasi itu turut disokong peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 42.7% kepada RM73.6 juta, selain pendapatan tersedia untuk agihan meningkat 41.4% kepada RM74.5 juta.
KIP REIT berkata, pertumbuhan berkenaan mencerminkan sumbangan lebih kukuh daripada portfolio hartanahnya yang semakin berkembang, asas operasi yang berdaya tahan serta pengurusan aset yang berdisiplin.
Susulan prestasi memberangsangkan itu, KIP REIT mengisytiharkan jumlah agihan pendapatan sebanyak 7.26 sen seunit bagi FY2026, meningkat daripada 6.80 sen seunit pada tahun kewangan sebelumnya.
Sumbangan Aset Baharu Kukuhkan Pendapatan KIP REIT
Peningkatan prestasi KIP REIT dipacu oleh pertumbuhan sumbangan daripada aset sedia ada selain pendapatan daripada beberapa aset runcit dan industri yang diperoleh sepanjang tahun kewangan berkenaan.
Antara aset baharu yang menyumbang kepada prestasi kumpulan ialah KIPMall Desa Coalfields, KIP Kuantan, tanah industri di Bintulu serta tanah industri di Pasir Gudang.
Segmen runcit kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan KIP REIT dengan menyumbang 93.4% daripada jumlah hasil keseluruhan, selaras dengan strategi kumpulan memberi tumpuan kepada pusat beli-belah komuniti di kawasan pinggir bandar.
Bagi suku keempat FY2026, KIP REIT turut merekodkan pertumbuhan positif apabila hasil kasar meningkat 20.9% tahun ke tahun kepada RM48.2 juta berbanding RM39.9 juta sebelumnya.
Pendapatan bersih hartanah bagi suku berkenaan meningkat 26.2% kepada RM35.4 juta, manakala keuntungan selepas cukai direalisasi meningkat 33% kepada RM20.2 juta.
Setapak Central Buka Fasa Baharu Pertumbuhan
Dalam perkembangan berkaitan, pemegang unit KIP REIT meluluskan semua resolusi berkaitan cadangan pengambilalihan Setapak Central Mall bernilai RM435 juta dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Kelulusan itu turut melibatkan cadangan penerbitan persendirian sehingga 220 juta unit baharu serta urusan berkaitan bagi membiayai pengembangan portfolio kumpulan.
Melalui pengambilalihan tersebut, aset di bawah pengurusan KIP REIT dijangka meningkat kepada RM2.1 bilion, sekali gus melepasi sasaran RM2 bilion lebih awal daripada jadual.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong berkata, FY2026 merupakan tahun penting bagi kumpulan selepas berjaya mencatat rekod tertinggi dari segi hasil, pendapatan bersih hartanah, keuntungan serta agihan tahunan kepada pemegang unit sejak penyenaraian pada 2017.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan daya tahan portfolio KIP REIT selain menunjukkan keberkesanan strategi pengurusan aset yang memberi tumpuan kepada peningkatan nilai hartanah, pengukuhan penyewa serta pengalaman pelanggan.
"Di KIP REIT, kami percaya nilai diwujudkan melalui pengurusan aktif dan bukan sekadar pemilikan pasif. Kami terus meningkatkan aset, memperkukuh campuran penyewa serta membuka potensi penuh setiap hartanah dalam portfolio," katanya.
KIP REIT turut menekankan kejayaan program peningkatan aset di KIPMall Tampoi yang berjaya meningkatkan kadar penghunian, menarik minat penyewa baharu serta menggandakan jumlah kunjungan pelanggan selepas kerja naik taraf selesai.
Bagi FY2026, KIP REIT mencadangkan agihan pendapatan suku keempat sebanyak RM19.5 juta atau 2.03 sen seunit.
Dengan mengambil kira agihan sebelumnya, jumlah keseluruhan DPU bagi tahun kewangan itu mencapai 7.26 sen seunit, memberikan hasil agihan sebanyak 8.6% berdasarkan harga penutupan RM0.85 pada 30 Jun 2026.
Tarikh tutup bagi agihan tersebut adalah pada 7 Ogos 2026, manakala pembayaran kepada pemegang unit dijadualkan pada 2 September 2026. - DagangNews.com








