WCE catat kerugian sebelum cukai lebih rendah RM70 juta bagi FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

WCE catat kerugian sebelum cukai lebih rendah RM70 juta bagi FY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JulaiWCE Holdings Berhad mencatatkan pengurangan kerugian sebelum cukai kepada RM70 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, susut 47% berbanding tahun sebelumnya.

 

Menurut makluman kumpulan pengendali konsesi Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat tersebut kepada Bursa Malaysia, angka itu berkurangan daripada kerugian RM134 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

Perkembangan positif itu didorong terutamanya oleh peningkatan hasil secara ketara kira-kira 33.5% kepada sebanyak RM840 juta, berbanding hanya RM629 juta diraih bagi tempoh yang sama tahun lalu.

 

"Lonjakan hasil ini berpunca daripada kemajuan pesat aktiviti pembinaan projek lebuh raya konsesi serta sumbangan daripada seksyen-seksyen yang sudah mula beroperasi kepada trafik," jelas WCE.

 

Menurut laporan tahunan tersebut, lebuh raya sepanjang 233 kilometer itu pada ketika ini sudah mencapai kira-kira 97 peratus tahap kemajuan pembinaan infrastruktur lengkap secara keseluruhan.

 

Setakat ini, lapan daripada 11 seksyen lebuh raya berkenaan sidaj pun dibuka kepada pengguna, manakala baki tiga seksyen lagi iaitu Seksyen 3, 4, dan 7 kini sedang dalam fasa akhir penyiapan.

 

WCE_DagangNews2026

 

Tambahnya, WCE kini memberikan tumpuan penuh untuk melengkapkan terus baki jajaran tersebut bagi memastikan usaha ketersambungan koridor sepenuhnya dari Banting, Selangor hingga ke Taiping, Perak. 

 

"Langkah ini dilihat strategik dalam meningkatkan kecekapan logistik dan integrasi ekonomi serantau memandangkan lebuh raya itu menghubungkan pelabuhan-pelabuhan utama di Pantai Barat," ujarnya.

 

Bagaimanapun, di peringkat syarikat induk, ia mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM162 juta bagi tahun 2026 berbanding keuntungan RM109 juta yang dilaporkan pada tahun 2025.

 

Keadaan tersebut jelas WCE, mencerminkan usaha pelarasan dalam pelbagai aktiviti korporat dan kos pembiayaan yang dilaksanakan kumpulan itu sepanjang tempoh pelaburan infrastruktur berkenaan.

 

Setakat 31 Mac 2026, jumlah aset kumpulan melonjak kepada RM8.6 bilion berbanding RM7.9 bilion pada tahun sebelumnya, manakala dana pemegang saham berada pada tahap RM861 juta. - DagangNews.com