Dialog pindahkan hak PSC Cendramas kepada Dialog Resources (Cendramas) | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog pindahkan hak PSC Cendramas kepada Dialog Resources (Cendramas)

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 23 Julai – Dialog Group Bhd memindahkan semua hak dan obligasinya di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Cendramas kepada sebuah lagi anak syarikat milik penuhnya sebagai sebahagian daripada penyusunan semula dalaman kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Dialog berkata Dialog Resources Sdn. Bhd. (DRSB) telah menyerah hak dan memindahkan segala hak, liabiliti, manfaat, kepentingan, tugas serta obligasinya di bawah PSC Cendramas kepada Dialog Resources (Cendramas) Sdn. Bhd. atau DRCSB.

 

Menurut syarikat itu, PETRONAS telah memberikan kelulusan terhadap penyerahan hak tersebut.

 

Sehubungan itu, addendum kepada kontrak PSC Cendramas dan Perjanjian Operasi Bersama (Joint Operating Agreement) masing-masing telah dimeterai bagi mencerminkan penyerahan hak berkenaan.

 

Susulan langkah itu, PSC Cendramas kini melibatkan DRCSB, PETRONAS serta rakan kongsi lain iaitu Medco Asia Pacific Limited dan EnQuest Petroleum Production Malaysia Limited, tanpa sebarang perubahan terhadap kepentingan penyertaan (participating interest) setiap pihak.

 

Penyusunan semula dalaman

DIALOG berkata penyerahan hak tersebut adalah selaras dengan penyusunan semula dalaman melibatkan beberapa syarikat milik penuh dalam kumpulan.

 

DRCSB merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan aktiviti utama dalam pembangunan petroleum, penilaian medan serta operasi pengeluaran petroleum.

 

DIALOG berkata urus niaga itu tidak dijangka memberi sebarang kesan terhadap modal saham atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

Selain itu, ia juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih dan tahap penggearan DIALOG bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.

 

Syarikat itu turut memaklumkan Surat Ikatan Penyerahan Hak (Deed of Assignment) berkenaan tidak memerlukan kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa berkaitan lain mahupun pemegang saham DIALOG.

 

Menurut DIALOG, tiada seorang pun daripada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam Surat Ikatan Penyerahan Hak tersebut. - DagangNews.com