YNH tangguh bayaran kupon, rancang tebus sekuriti kekal menerusi penjualan aset RM455 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YNH tangguh bayaran kupon, rancang tebus sekuriti kekal menerusi penjualan aset RM455 juta

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 JulaiYNH Property Berhad mengambil langkah pengurusan aliran tunai dengan menggunakan hak kontraknya untuk menangguhkan bayaran kupon sekuriti kekal berjumlah RM34.41 juta.

 

Sehubungan itu, kumpulan tersebut merancang untuk menunggu penyelesaian cadangan penjualan aset bernilai RM455 juta yang dijangka dapat digunakan bagi menebus sepenuhnya sekuriti berkenaan.

 

Penangguhan itu ujarnya dibuat mengikut Klausa 6.3 Surat Ikatan Amanah bertarikh 19 Julai 2019 dan tidak dianggap sebagai kegagalan membayar di bawah Program Penerbitan Sekuriti Kekal syarikat tersebut.

 

"Jumlah yang ditangguhkan meliputi bayaran kupon semasa, kupon yang sebelum ini ditangguhkan serta kupon tambahan yang terakru, dengan keseluruhan nilai mencecah sebanyak RM34.41 juta," kata YNH.

 

Jelasnya, bagi sekuriti kekal bernilai RM87 juta, dengan kod saham PZ200008, ia menunda bayaran kupon kira-kira RM7.87 juta yang sepatutnya akan dibayar pada 30 Julai 2026 kepada 29 Januari 2027.

 

Sementara itu, bagi sekuriti bernilai RM263 juta dengan kod saham PZ190009, syarikat menangguhkan bayaran kupon berjumlah RM26.54 juta daripada asalnya pada 7 Ogos 2026 kepada 8 Februari 2027.

 

YNH Property_DagangNews2026

 

YNH berkata, usaha itu sebagai persediaan menjelang penyempurnaan pelupusan tanah pegangan bebas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur bernilai RM455 juta, yang pernah diumumkan pada 8 Julai 2026.

 

"Hasil pelupusan aset itu akan diguna untuk menebus sepenuhnya baki sekuriti kekal dan menjelaskan semua bayaran kupon tertunggak, termasuk faedah kompaun dan kupon tambahan yang terakru," katanya.

 

Dalam tempoh menunggu transaksi dimuktamadkan, langkah penangguhan itu membolehkan YNH mengekalkan rizab tunai bagi membiayai projek pembangunan yang sedang berjalan tanpa operasi terjejas.

 

Lembaga Pengarah YNH berpandangan keputusan menggunakan hak kontrak untuk menangguhkan bayaran kupon merupakan langkah pengurusan modal yang berhemat bagi mengukuhkan kedudukan kewangan.

 

Ia turut menegaskan semua bayaran kupon yang ditangguhkan kekal menjadi obligasi syarikat dan akan terus dikenakan kupon serta faedah kompaun pada kadar semasa sehingga dijelaskan sepenuhnya. 

 

"Langkah berkenaan sekali gus memastikan kepentingan semua pemegang sekuriti kekal terus dilindungi mengikut peruntukan Surat Ikatan Amanah," jelasnya lagi. - DagangNews.com