KUALA LUMPUR 8 Jun – Keyfield International Berhad terus memperkukuh kedudukannya dalam industri perkhidmatan sokongan luar pesisir dengan pengambilalihan sebuah kapal bekalan, tunda dan pengendalian sauh (AHTS) bernilai kira-kira AS$7.35 juta atau sekitar RM29.6 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Resolute Sdn Bhd (KRSB) telah memeterai Memorandum Perjanjian bagi membeli kapal tersebut yang dibina pada tahun 2014.
“Kapal berkenaan akan dinamakan semula sebagai Keyfield Joyful dan bakal menjadi aset strategik baharu kumpulan dalam memperkukuh kapasiti operasi di rantau Asia Pasifik.
“Kapal berusia 12 tahun itu mempunyai rekod operasi aktif merentasi beberapa negara termasuk Indonesia, Australia, Singapura dan Bangladesh yang membuktikan kebolehannya untuk terus beroperasi serta-merta selepas pengambilalihan.
“Kapal ini dijangka boleh digunakan segera pada separuh kedua tahun 2026 (2H2026) bagi merebut peluang kontrak sewaan dan tender baharu yang semakin meningkat dalam pasaran luar pesisir,” katanya dalam makluman itu.
Keyfield menjelaskan pasaran kapal sokongan luar pesisir kini menunjukkan permintaan kukuh, khususnya bagi segmen AHTS bersaiz bawah 80MT yang mengalami kekangan bekalan.
Selain pembelian aset ini, kumpulan turut merancang pelaburan tambahan sekitar RM3 juta hingga RM4 juta bagi menaik taraf kapal tersebut secara berperingkat.
Naik taraf itu melibatkan peningkatan kuasa tarikan kapal, penambahan kapasiti penginapan kru, serta pemasangan sistem Dynamic Positioning 2 (DP2) yang membolehkan kapal mengekalkan kedudukan secara automatik dengan lebih stabil di laut dalam keadaan mencabar.
Kapal ini juga akan dinaik taraf untuk meningkatkan kebolehpasaran bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam sektor minyak dan gas serta industri berkaitan kabel dasar laut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutif Keyfield, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata pengambilalihan ini merupakan langkah strategik dan tepat pada masanya untuk memperluaskan kapasiti armada syarikat.
Beliau berkata, kumpulan kini turut menggerakkan beberapa kapal AHTS sedia ada termasuk dua kapal milik sendiri dan satu kapal pihak ketiga yang diuruskan ke pasaran Timur Tengah bagi memenuhi permintaan tinggi di rantau tersebut.
“Keyfield Joyful akan membolehkan kami menyertai segera peluang tender baharu dan kontrak jangka pendek tanpa menjejaskan komitmen sedia ada,” katanya.
Menurut beliau, prospek jangka sederhana industri kapal sokongan luar pesisir kekal kukuh disokong kekangan bekalan kapal dan permintaan operasi yang semakin meningkat.
Keyfield turut menyatakan bahawa pelan pengembangan ini dijangka meningkatkan saiz armada milik kumpulan daripada 14 kapal ketika ini kepada 18 kapal menjelang tahun 2028.
Pelan pertumbuhan itu merangkumi tiga kapal baharu yang sedang dalam pembinaan, iaitu sebuah kapal kerja penginapan (AWB) dan dua kapal DP2 AHTS 90MT yang dijangka siap sepenuhnya antara tahun 2027 hingga 2028.
Pembelian kapal Keyfield Joyful akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana sukuk yang masih belum digunakan daripada terbitan pada Disember 2024.
Keyfield menjangkakan pengambilalihan ini akan memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan serta meningkatkan aset bersih kumpulan pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 selepas kapal mula beroperasi. - DagangNews.com








