KUALA LUMPUR 8 Jun - Hubungan grid elektrik Sarawak dengan Sabah dan Kalimantan Barat, Indonesia membuktikan pertukaran tenaga rentas sempadan di rantau ini mampu dilaksanakan apabila disokong oleh komitmen kerajaan yang jelas serta pelaksanaan yang terselaras oleh syarikat utiliti.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, usaha memperluaskan perdagangan tenaga rentas sempadan memerlukan penekanan berterusan terhadap kejelasan peraturan, aspek keselamatan tenaga dan kepastian pelaburan jangka panjang.
Menurut beliau, pembangunan Grid Kuasa ASEAN (APG) merupakan proses jangka panjang yang dibina berasaskan kepercayaan, penyelarasan dasar dan peluasan secara berperingkat daripada perjanjian dua hala kepada integrasi serantau yang lebih meluas.
“Kerjasama lebih rapat antara kerajaan, pengawal selia dan syarikat utiliti akan menjadi faktor utama untuk mengubah APG daripada sekadar perbincangan dan perjanjian kepada pelaksanaan yang praktikal, ketika Asia Tenggara terus berusaha ke arah masa depan tenaga yang lebih selamat dan mampan,” katanya dalam sesi dialog bertajuk 'Asean Power Grid: From MoUs to Megawatts' pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) baru-baru ini.
Sharbini turut menekankan kepentingan kesiapsiagaan sistem penghantaran dan integrasi grid, sambil menjelaskan bahawa perdagangan tenaga rentas sempadan bukan sahaja bergantung kepada kapasiti penjanaan elektrik, malah turut memerlukan infrastruktur grid yang mencukupi, penyelarasan penghantaran bekalan serta keupayaan mengurus aliran tenaga secara boleh dipercayai merentasi sempadan negara.
“Kita perlu beralih daripada MoU (memorandum persefahaman) kepada megawatt. Rantau ini mempunyai sumber tenaga dan pertumbuhan permintaan yang kukuh.
"Apa yang diperlukan sekarang ialah kerangka yang lebih jelas bagi membolehkan keputusan pelaburan jangka panjang dibuat,” katanya.
Beliau menambah, penyelarasan yang lebih kukuh antara pengendali sistem akan menjadi semakin penting apabila hubungan grid diperluaskan, khususnya bagi memastikan kebolehpercayaan bekalan, perkongsian kapasiti simpanan tenaga serta aliran kuasa rentas sempadan yang lebih cekap.
Grid Elektrik ASEAN Pacu Keselamatan dan Kelestarian Tenaga Serantau
Menurutnya lagi, APG tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai projek infrastruktur, sebaliknya sebagai satu mekanisme untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau, menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperluaskan akses kepada tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan negara ASEAN.
Sharbini turut menjelaskan, hubungan grid serantau berupaya membantu menangani dilema tenaga atau energy trilemma yang dihadapi rantau ini menerusi pengukuhan keselamatan tenaga, pengekalan kemampuan kos serta sokongan terhadap kelestarian alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan ETCon26 anjuran Tenaga Nasional Berhad yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Pada acara sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof menyampaikan ucaptama khas yang menekankan kepentingan peralihan tenaga berteraskan rakyat sebagai sebahagian daripada agenda pembinaan negara.
Persidangan selama tiga hari itu turut membincangkan pelbagai peluang untuk mempercepatkan peralihan tenaga, termasuk peranan kecerdasan buatan (AI) dalam menyokong pembangunan mampan sektor tenaga. - DagangNews.com








