SC lantik LC Wakaful Digital sebagai pengendali platform Bursa Sosial pertama Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC lantik LC Wakaful Digital sebagai pengendali platform Bursa Sosial pertama Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Feb – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan LC Wakaful Digital Sdn Bhd (LCWD) sebagai pengendali pertama Platform Bursa Sosial negara.

 

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 (CMP) yang bertujuan meluaskan akses dan penyertaan pasaran dalam pembiayaan berimpak sosial. 

 

Platform Bursa Sosial akan menyediakan saluran tersusun dan telus bagi organisasi tidak berasaskan keuntungan (NPO) untuk mengumpul sumbangan bagi projek sosial yang layak, sambil memberi peluang kepada penderma melihat dengan jelas penggunaan dana serta impak projek berkenaan.

 

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata pelantikan ini menandakan langkah penting ke arah mewujudkan platform berasaskan pasaran yang telus dan berwibawa bagi NPO.

 

“Dengan Platform Bursa Sosial, kita menginstitusikan kepercayaan dalam pembiayaan sosial. Kami menyediakan saluran tersusun untuk organisasi ini mengembangkan impak mereka, sambil memberi penderma keyakinan dan ketelusan yang diperlukan untuk menyertai perjalanan pembangunan lestari Malaysia,” katanya.

 

Pelantikan LCWD sebagai pengendali Platform Bursa Sosial menandakan fasa awal operasi platform tersebut, susulan pengumuman Perdana Menteri pada Mei 2024 mengenai inisiatif ini serta kejayaan Pelaksanaan Program Perintis Bursa Social oleh SC pada separuh pertama 2025.

 

LCWD, yang didaftarkan di bawah Seksyen 76A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), akan bertanggungjawab membangunkan dan mengendalikan platform pertama Malaysia, Impakrintas, serta memastikan semua organisasi tersebut mematuhi garis panduan yang ditetapkan SC.

 

Fasa pertama ini dijangka bermula pada 19 Februari 2026 dengan enam NPO disenaraikan di platform, membabitkan projek impak sosial seperti akses saksama kepada penjagaan kesihatan, program intervensi awal untuk remaja mengenai pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, keselamatan makanan, peluang pekerjaan inklusif, dan kelestarian alam sekitar.

 

Semua sumbangan melalui Bursa Sosial layak mendapat manfaat cukai di bawah subseksyen 44(6) dan perenggan 13(1) Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967, memberi manfaat kepada NPO yang mengumpul dana serta penderma yang menyokong projek impak sosial disenaraikan di Impakrintas.

 

SC berkata mereka akan menilai tahap penyertaan pasaran, pembangunan platform, dan kesediaan pasaran sebelum mempertimbangkan pengembangan untuk pengendali lain pada fasa seterusnya, termasuk penglibatan instrumen pasaran modal. - DagangNews.com