Siasatan pelaburan KWAP-eFishery: SPRM rakam keterangan 10 saksi, teliti unsur rasuah dan tadbir urus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siasatan pelaburan KWAP-eFishery: SPRM rakam keterangan 10 saksi, teliti unsur rasuah dan tadbir urus

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan keterangan daripada 10 saksi setakat ini dalam siasatan terhadap pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, saksi yang dipanggil terdiri daripada pegawai kanan KWAP serta Kementerian Kewangan yang terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan pelaburan tersebut.

 

Beliau berkata, pasukan penyiasat kini sedang menganalisis kenyataan saksi selain meneliti dokumen yang dirampas sepanjang siasatan dijalankan.

 

“Pegawai penyiasat telah menemu bual 10 saksi yang terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan yang terlibat dalam proses membuat keputusan pelaburan tersebut.

 

“Mereka kini sedang menganalisis kenyataan saksi serta meneliti dokumen yang dirampas sepanjang siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut Abd Halim, siasatan itu dijalankan secara menyeluruh dengan memberi tumpuan kepada kemungkinan wujud unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berkaitan pelaburan KWAP dalam teknologi Smart Feeder eFishery bagi industri penternakan ikan dan udang.

 

Selain itu, SPRM turut meneliti aspek tadbir urus termasuk prosedur kewangan, pematuhan perundangan serta proses membuat keputusan yang membawa kepada pelaksanaan pelaburan berkenaan.

 

Lebih Ramai Akan Dipanggil Termasuk Dari Luar Negara

Beliau berkata, SPRM juga menjalankan analisis jejak kewangan termasuk penelitian terhadap laporan transaksi tunai (CTR) dan laporan transaksi mencurigakan (STR) sebagai sebahagian daripada proses siasatan.

 

Antara dokumen yang sedang diteliti termasuk kertas cadangan pelaburan awal dan akhir, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat berkaitan eFishery, laporan usaha wajar (due diligence), prosedur pelaburan serta rekod kewangan KWAP.

 

“Masih terlalu awal untuk mendedahkan hasil siasatan kerana siasatan ini baru sahaja dimulakan,” katanya.

 

Abd Halim berkata, lebih ramai individu dijangka dipanggil bagi membantu siasatan termasuk anggota Jawatankuasa Kewangan KWAP serta semua ahli Panel Pelaburan yang terlibat dalam keputusan pelaburan tersebut.

 

Menurut beliau, beberapa pihak di luar negara turut dikenal pasti bagi membantu siasatan, termasuk usaha mendapatkan bukti dan keterangan saksi asing.

 

“Kami akan mengemukakan permohonan Bantuan Perundangan Bersama dalam Perkara Jenayah (Mutual Legal Assistance in Criminal Matters – MACMA) melalui Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan bukti dan keterangan saksi dari luar negara,” katanya.

 

Sebelum ini, SPRM menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat pelaburan KWAP dalam eFishery, yang diterajui oleh Pengarah Kanan Siasatan SPRM serta membabitkan pegawai kanan daripada Bahagian Siasatan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan serta Bahagian Siasatan Governans.

 

Pasukan penyiasat turut telah hadir ke premis KWAP pada 20 Julai lalu sebagai sebahagian daripada tindakan awal siasatan.

 

Dalam pada itu, Abd Halim menggesa semua pihak memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, sambil menegaskan bahawa kes yang melibatkan perkara kompleks memerlukan tempoh tertentu sebelum sebarang keputusan dapat dibuat.

 

“Kami tidak akan meninggalkan sebarang perkara dalam usaha mendapatkan bukti,” katanya. - DagangNews.com