Tanco Holdings terima pertanyaan UMA selepas saham menjunam hampir 30 peratus kepada RM1.12 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tanco Holdings terima pertanyaan UMA selepas saham menjunam hampir 30 peratus kepada RM1.12 sesaham

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Jun - Tanco Holdings Bhd menerima pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia Securities Bhd susulan kejatuhan mendadak harga sahamnya pada Isnin.

 

Saham syarikat itu mencatatkan had bawah (limit down), susut 29.56% atau 47 sen kepada RM1.12 sesaham, dengan sebanyak 30.49 juta saham diniagakan. Dalam tempoh lima hari dagangan lalu, kaunter tersebut telah merosot lebih 36%.

 

Ketika Bursa Malaysia ditutup pada jam 5 petang ini, saham Tanco berakhir pada RM1.12 sesaham selepas dibuka pada RM1.58 dan mencecah paras tertinggi harian RM1.62.

 

Kaunter itu turut mencecah paras terendah harian RM1.12, manakala permodalan pasarannya berjumlah RM6.87 bilion.

 

Harga saham semasa juga berada di bawah paras tertinggi 52 minggu sebanyak RM1.78, tetapi masih melebihi paras terendah 52 minggu pada RM0.69.

 

Menerusi pertanyaan UMA itu, Bursa Malaysia meminta pemaju hartanah berkenaan menjelaskan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan urusan syarikat.
 

Ini termasuk yang masih dalam peringkat rundingan atau perbincangan, yang belum diumumkan dan mungkin menjadi punca kepada aktiviti dagangan luar biasa tersebut.

 

Bursa Malaysia turut bertanyakan sama ada Tanco mengetahui sebarang khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan urusan syarikat yang mungkin menyumbang kepada kejatuhan mendadak harga sahamnya.

 

Bursa Malaysia menasihatkan para pelabur supaya mengambil maklum terhadap maklum balas syarikat berhubung pertanyaan UMA itu, yang akan diterbitkan di laman sesawang Bursa Malaysia, sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. - DagangNews.com