KUALA LUMPUR 8 Jun - Securemetric Berhad menerusi anak syarikat milik hampir penuh, Securemetric Technology, Inc. di Filipina, memperoleh kontrak bernilai 229.89 juta peso Filipina (kira-kira RM15.07 juta) bagi pembangunan dan pelaksanaan platform pembangunan aplikasi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata Securemetric Philippines telah menerima Notis Penganugerahan bagi projek berkenaan yang merangkumi penyediaan platform pembangunan aplikasi serta perkhidmatan berkaitan.
Skop kerja termasuk penyediaan, pembangunan dan pelaksanaan platform tersebut bersama perkhidmatan, alat, sokongan serta penyelenggaraan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan diterima oleh pelanggan.
Selain itu, kontrak tersebut turut melibatkan penyediaan perkakasan, langganan, perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan serta perkhidmatan berkaitan Infrastruktur Kunci Awam (PKI).
Menurut Securemetric, projek berkenaan akan bermula selepas penerimaan Notis Memulakan Kerja (NTP) atau kontrak rasmi dikeluarkan, dengan penilaian prestasi akan dibuat selepas projek disiapkan.
Syarikat itu berkata, kontrak berkenaan tidak memberi sebarang kesan material terhadap modal saham atau struktur pegangan saham kumpulan.
Bagaimanapun, ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan Securemetric bagi tahun kewangan berakhir 2026 dan tahun-tahun seterusnya.
Dalam masa sama, syarikat menjelaskan kontrak tersebut merupakan sebahagian daripada operasi perniagaan biasa Securemetric Philippines dan tertakluk kepada risiko operasi lazim seperti mana-mana projek seumpamanya.
Tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan didapati mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.
Lembaga Pengarah Securemetric berkata penerimaan kontrak itu adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan dijangka mengukuhkan lagi kedudukan kumpulan dalam segmen keselamatan digital dan penyelesaian teknologi. - DagangNews.com








