Prolintas peroleh RM12.46 juta bagi kerja naik taraf Persimpangan Elmina di Lebuhraya Guthrie | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prolintas peroleh RM12.46 juta bagi kerja naik taraf Persimpangan Elmina di Lebuhraya Guthrie

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 Jun – Prolintas Infra Business Trust bakal memperoleh caj berjumlah RM12.46 juta susulan kerja naik taraf sebahagian akses Persimpangan Elmina, Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, projek tersebut jelas kumpulan pemegang amanah prasarana berkenaan, akan dilaksanakan oleh Sime Darby Property (City of Elmina) Sdn Bhd (SDPCE).


Anak syarikatnya, Prolintas Expressway Sdn Bhd (PEX) menandatangani surat aku janji (LOU) dengan SDPCE bagi membolehkan syarikat pemaju itu melaksanakan kerja-kerja berkenaan atas kos sendiri.


"Caj itu merangkumi kos pentadbiran, penyeliaan serta operasi dan penyelenggaraan (O&M) yang akan ditanggung oleh PEX sehingga tamat tempoh konsesi GCE pada tahun 2062," jelasnya.


Tambahnya, PEX merupakan syarikat konsesi dipertanggungjawabkan terhadap pengurusan Lebuhraya Guthrie yang merupakan antara aset lebuh raya utama di bawah kendalian Prolintas Infra BT.


Di bawah terma perjanjian, SDPCE bertanggungjawab melaksanakan dan menyiapkan kerja naik taraf tersebut mengikut spesifikasi serta syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).


Kerja-kerja berkenaan kata kumpulan tersebut merangkumi penyediaan jaminan bank, bon jaminan reka bentuk dan perlindungan insurans yang diperlukan.


"Prolintas Infra BT berkata, LOU itu merupakan amalan standard bagi mengawal selia kerja oleh pihak ketiga dalam kawasan lebuh raya di bawah pengurusannya serta memastikan syarat dipatuhi," katanya.


Transaksi ini dikategorikan urus niaga pihak berkaitan berikutan kepentingan AmanahRaya Trustees Berhad – Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam dua pihak itu.


Bagaimanapun, syarikat menjelaskan perjanjian itu tidak memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih, modal unit atau tahap penggearan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.


Perkembangan tersebut memandangkan kesemua kos kerja naik taraf persimpangan akses lebuh raya berkenaan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak SDPCE sendiri.


Lembaga Pengarah Prolintas Infra BT berpandangan perjanjian itu adalah adil, munasabah serta dibuat berdasarkan terma komersial biasa dan tidak menjejaskan kepentingan pemegang unit minoriti. - DagangNews.com