Dua kontrak insulin baharu bernilai RM117.6 juta diyakini kukuhkan aliran pendapatan Duopharma hingga FY28- RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua kontrak insulin baharu bernilai RM117.6 juta diyakini kukuhkan aliran pendapatan Duopharma hingga FY28- RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb – RHB Research menaikkan unjuran dan harga sasaran saham Duopharma Biotech kepada RM1.65 selepas syarikat itu memperoleh dua kontrak baharu bernilai kira-kira RM117.6 juta, yang dijangka memperkukuh aliran pendapatan dan margin keuntungannya pada masa akan datang. 

 

Kontrak pertama merupakan sambungan bekalan insulin sedia ada bernilai RM65.1 juta sehingga 15 Mei 2026 yang mengekalkan perkongsian tiga pihak antara Kementerian Kesihatan, Duopharma Marketing dan Biocon.

 

Kontrak kedua pula membabitkan bekalan suntikan insulin berasingan bernilai RM52.5 juta melalui Duopharma (M) sendiri sehingga 5 Februari 2028 yang dijangka memberi margin lebih tinggi kepada Kumpulan.

 

Menurut RHB Research, kontrak pertama diperoleh melalui rundingan terus dengan Kementerian Kesihatan (MOH) selepas kontrak sebelumnya tamat pada Oktober 2025, bagi memastikan tiada gangguan bekalan insulin di premis kesihatan kerajaan.

 

“Kontrak kedua pula membuka peluang baharu bagi Duopharma membekalkan suntikan insulin secara langsung kepada Kementerian Kesiharan, bukan melalui pengedaran pihak ketiga, sekaligus berpotensi menyumbang margin keuntungan lebih tinggi.

 

“Kedua-dua kontrak ini menyokong unjuran keuntungan bersih berulang syarikat bagi 2025 hingga 2027, masing-masing RM93 juta, RM98 juta dan RM103 juta, dengan pertumbuhan keuntungan berulang 29.7 peratus pada 2025,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Duopharma menang tender RM65.08 juta bekal insulin kepada Kementerian Kesihatan

 

Kenaikan harga sasaran saham Duopharma daripada RM1.60 kepada RM1.65 termasuk premium ESG sebanyak lapan peratus, memberikan potensi kenaikan saham sekitar 11 peratus daripada harga semasa RM1.48.

 

Namun, firma penyelidikan itu mengingatkan beberapa risiko utama termasuk kemungkinan Kementerian Kesihatan memberi kontrak insulin kepada beberapa pembekal, pengukuhan dolar AS terhadap ringgit dan kos operasi lebih tinggi, yang boleh memberi impak sehingga lima peratus kepada keuntungan FY26F.

 

Selain itu, keuntungan jangka pendek syarikat dijangka mendapat manfaat daripada penstabilan harga bahan farmaseutikal aktif (API) dan kadar pertukaran yang lebih menguntungkan.

 


RHB Research menegaskan bahawa margin keuntungan bersih dijangka kekal melebihi 10 peratus dengan margin EBITDA sekitar 21 peratus bagi tahun-tahun mendatang, sejajar prestasi stabil kontrak insulin.

 

Aliran tunai operasi dijangka kekal positif dengan unjuran aliran tunai bebas kepada firma (FCFF) sebanyak RM114 juta pada FY26F dan RM105 juta pada FY27F, menyokong kedudukan kewangan sihat dan pembayaran dividen berterusan sekitar dua peratus.

 

Penilaian DCF oleh RHB menunjukkan nilai intrinsik saham Duopharma RM1.53 sebelum termasuk premium ESG, justeru harga sasaran RM1.65 mencerminkan peluang pertumbuhan yang menarik bagi pelabur. - DagangNews.com