Duopharma menang tender RM65.08 juta bekal insulin kepada Kementerian Kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma menang tender RM65.08 juta bekal insulin kepada Kementerian Kesihatan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Feb – Duopharma Biotech Berhad menerima tender kerajaan bagi pembekalan insulin manusia melalui gabungan semula bahan genetik secara bioteknologi bernilai RM65.08 juta.


Kumpulan tersebut berkata, surat penganugerahan (LOA) itu diterima Duopharma Marketing Sdn Bhd (DMktg), anak syarikat milik penuhnya sebagai pengedar, bersama Biocon Sdn Bhd sebagai pengeluar.


Kedua-dua syarikat itu menyerahkan penerimaan LOA kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 16 Februari 2026, dengan kontrak mengikat antara kerajaan, DMktg dan Biocon sehingga 15 Mei 2026.


"Di bawah terma kontrak, Biocon bertindak sebagai pengeluar dan pembekal produk, manakala DMktg pula sebagai pengedar yang menghantar bekalan kepada KKM," maklum Duopharma kepada Bursa Malaysia.

 

 

 

 

 

 

 

 

Selain itu tambahnya, dua pihak berkenaan juga dikehendaki mengemukakan bon pelaksanaan yang tidak boleh dibatalkan bernilai RM3.25 juta dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penerimaan LOA tersebut.


Kontrak terbaharu itu jelas kumpulan berkenaan, dianugerahkan melalui kaedah rundingan terus, namun tertakluk kepada pematuhan spesifikasi bekalan serta tempoh penghantaran yang sudah ditetapkan.


Sehubungan itu menurut Duopharma, sebarang kegagalan dalam pematuhan terma tersebut, akan boleh menyebabkan tempahan berkenaan dibatalkan atau hukuman penalti dikenakan ke atas kedua-duanya.

 

 

 

 

 


"Biocon memiliki kemudahan pembuatan di BioXcell, Iskandar Puteri, Johor dan merupakan antara fasiliti insulin bersepadu terbesar di Asia, dengan pelaburan melebihi RM2.33 billion," katanya.


Ia mempunyai kelulusan pelbagai badan kawal selia termasuk Pihak Berkuasa Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), serta pensijilan amalan pengilangan baik dari Ireland dan Amerika Syarikat (AS).


Duopharma berkata kontrak itu adalah dalam urusan biasa perniagaan kumpulan dan dijangka menyumbang positif kepada hasil serta pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.


Kontrak tersebut juga jelas kumpulan berkenaan, dijangka tidak memberi kesan terhadap modal saham dan pegangan pemegang saham utama syarikat serta tidak memerlukan kelulusan pemegang saham.


Lembaga Pengarah turut mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com